Zii Jia tak sertai Sukan Komanwel

Zii Jia tak sertai Sukan Komanwel

LEE Zii Jia mengesahkan menarik diri daripada menyertai temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 yang bakal berlangsung 28 Julai hingga 8 Ogos ini.

Ketiadaan pemain nombor lima dunia itu memberikan tamparan kepada skuad badminton negara dalam usaha merangkul emas buat Malaysia pada temasya tersebut.

Menerusi satu rakaman video dimuatnaik di Twitter Astro Arena, Zii Jia memaklumkan keputusan itu dibuat bagi memberi lebih fokus terhadap persiapan menghadapi Kejohanan Dunia di Tokyo, yang berlangsung 22 hingga 28 Ogos.

Menurut pemain perseorangan lelaki nombor satu negara itu, ia keputusan sukar memandangkan mewakili Malaysia di Sukan Komanwel adalah antara impiannya sebagai pemain badminton negara.

“Keputusan ini dibuat disebabkan faktor keadaan tubuh badan saya selepas beraksi dalam banyak kejohanan berturut-turut. Dengan keadaan sekarang, saya tidak cukup rehat.

“Saya perlu memilih antara Sukan Komanwel dengan Kejohanan Dunia. Saya juga berbincang bersama pasukan saya dan kami putuskan untuk beri lebih fokus kepada Kejohanan Dunia,” kata Zii Jia.

Tambah Zii Jia, ketika ini dia cuba sedaya upaya memastikan berada dalam keadaan terbaik bagi beraksi di Terbuka Malaysia yang akan bermula pada 28 Jun hingga 3 Julai ini dan Masters Malaysia 5 hingga 10 Julai. – Malaysiapost

Komen