‘Ada lagi beberapa nama akan dipecat’ – Annuar Musa

TAN Sri Annuar Musa mendedahkan kemungkinan akan ada lagi Ahli Majlis Kerja Tertinggu (MKT) Umno yang ‘dicap’ sebagai musuh politik akan dipecat.

Tanpa menjelaskan butiran lanjut, Annuar berkata, tindakan memecat ahli MKT Umno sebelum tamat penggal perkhidmatan hanya akan membawa parti itu ke arah krisis dan perpecahan.

Beliau yang juga bekas Setiausaha Agung Umno berkata, tindakan berkenaan bercanggah dengan semangat dan resolusi Perhimpunan Agung Umno (PAU) dan PAU Khas, baru-baru ini.

“Meskipun ada peruntukan bagi Presiden memecat ahli MKT yang dilantik Presiden,namun tindakan itu tidak membawa kebaikan malah jarang dilakukan oleh mana mana Presiden Umno,” katanya menerusi hantaran Facebook.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Ketereh itu turut mengimbas Umno ketika zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai presiden, yang mana bekas Perdana Menteri itu juga pernah menerima tentangan daripada pemimpin parti secara terbuka.

Namun, katanya, Dr Mahathir tidak bertindak menggugurkan pihak yang menetangnya disebabkan tidak menyokong beliau sebagai presiden parti pada ketika itu.

“Di bawah Tun M, terdapat menteri, timbalan menteri dan MKT yang menentang beliau secara terbuka, namun tiada sesiapa digugurkan hanya kerana tidak menyokong Presiden.

“Namun kali ini pemecatan demi pemecatan berlaku, dan difahamkan ada lagi beberapa nama yg sudah dicap sebagai musuh politik, bakal dipecat. Roda politik terus berputar,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman digugurkan sebagai ahli MKT disebabkan sikap beliau yang mengkritik parti.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kritikan itu dibuat menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan secara terperinci punca Ahli Parlimen Pasir Salak itu dipecat.

“Saya fikir tanya beliau sendiri, itulah sebaiknya. Tidak adil untuk saya memberitahu mengenai kenapa tetapi tentunya beliau mengetahui apa yang beliau lakukan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights