AHLI Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman mengingatkan pemimpin dan ahli parti itu supaya tidak menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagaimana dilakukan ‘geng’ Kluster Mahkamah.
Menurutnya, tindakan mengecam Perdana Menteri secara berjemaah di media sosial hanya merugikan parti itu kerana ia seakan-akan membantu agenda halus musuh untuk menyerang ‘sekutu’ Bersatu.
“Kita ini sudahlah dimusuhi ‘Kluster Mahkamah’ dan para pengampunya, bahkan Bersatu juga hakikatnya telah ditolak parti-parti di luar Perikatan Nasional (PN) kecuali mungkin GPS.
“Maka jika ada pihak yang pro kepada ‘sekutu’ kita, contohnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang kita pun tahu beliau dan pasukannya sedang diasak secara tidak langsung oleh puak Kluster Mahkamah dalam partinya.
“(Jadi) janganlah pula kita turut mengecamnya secara berjemaah di media sosial ini seolah-olah kita pula bantu agenda halus seteru ‘sekutu’ kita itu,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, musuh sebenar Bersatu bukanlah parti, individu atau kerajaan tertentu, tetapi kelompok yang korup, zalim dan ekstrem terhadap ummah serta masyarakat.
“Inilah jihad sebenar kita menentang menentang rasuah dan salah guna kuasa yang menjahanamkan tamadun serta maruah bangsa,” katanya.
Justeru, beliau meminta pemimpin, akar umbi dan juga pejuang siber Bersatu lebih sabar dan matang mendepani perkembangan politik negara serta isu-isu semasa yang melibatkan kepentingan rakyat.
“Ingatlah kembali ikrar perjuangan asal penubuhan parti kita yang berpaksikan semangat kebangsaan untuk perpaduan seluruh warga Malaysia, mempertahankan kedudukan Islam dan menjamin hak agama-agama lain yang diiktiraf di negara ini,” katanya.
Baru-baru ini, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed menggelar Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri Umno paling lemah dalam sejarah negara kerana masih belum memutuskan pengganti Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin.
Zuraida dilantik sebagai anggota Jemaah Menteri, pada 27 Ogos 2021, ketika bersama Bersatu sebelum keluar parti itu pada 26 Mei, untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Sementara Pimpinan Bersatu mahu Ismail Sabri menggugurkan Zuraida sebagai menteri dan jawatan itu diberikan kepada calon lain daripada Bersatu. – Malaysiapost