Disebalik desas desus Tajuddin digugurkan, MKT Umno bermesyuarat hari ini

BERITA pengguguran Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dijangka akan menjadi topik hangat hari ini.

Disebalik desas-desus mengenainya dan penularan surat penghargaan serta rakaman ucapan terima kasih daripada Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan mengenai pengguguran itu, MKT Umno akan bermesyuarat malam ini.

Ahmad dalam ciapannya di Twitter pagi ini, memaklumkan mesyuarat MKT akan diadakan pada jam 8 malam ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Beliau turut memaklumkan perasmian BN Youth Job Fair 2022 akan diadakan di Dewan Tun Razak 4 PWTC pagi ini.

“Perasmian BN Job Fair akan diadakan pada jam 10.30 pagi di Dewan Tun Razak 4 PWTC oleh Pengerusi BN / Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi,” katanya.

Terdahulu media melaporkan Tajuddin Abdul Rahman digugurkan daripada MKT Umno.

Perkara itu tersebar melalui satu surat sulit ditandatangani, Setiausaha Agung Umno, yang turut merakamkan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat beliau sebagai ahli majlis tersebut.

“Dimaklumkan bahawa Presiden (Ahmad Zahid) melalui surat ini menamatkan pelantikan Datuk Seri sebagai ahli MKT Umno,” katanya dalam surat bertarikh 21 Jun lalu.

Surat berkenaan turut menyatakan menurut Perlembagaan Umno 9.8.1.4, lantikan Tajuddin sebagai Ahli MKT adalah dibuat oleh Presiden Umno.

Bagaimanapun surat berkenaan tidak menyatakan butiran lanjut sebab Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia digugurkan dari jawatannya dalam Umno.

Menerusi surat berkenaan, Tajuddin diharap dapat meneruskan khidmat sebagai ahli Umno yang komited kepada perjuangan, selain menumpukan tugas penting sebagai Duta Besar.

Ahad lalu, Tajuddin mengesahkan menerima watikah pelantikan sebagai duta besar Malaysia ke Indonesia. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights