JUSTIFIKASI lanjut perlu diberikan oleh Pengerusi dan Lembaga Pengarah FGV Holding Berhad (FGV) atas cadangan kenaikan elaun tahunan mereka.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Luar Bandar dan FELDA Pejuang Muda, Rahmatullah Kamilin berkata antara persoalan utama perlu dikemukakan apakah faktor penyumbang peningkatan pendapatan dan/atau keuntungan syarikat dan kumpulan didokong sepenuhnya oleh faktor keputusan pengurusan perniagaan luar biasa terhadap isu kritikal oleh pihak pengurusan melalui strategi perniagaan yang baharu?
Katanya lagi, adakah kenaikan itu semata-mata kerana berlaku peningkatan dalam pendapatan dan/atau keuntungan syarikat dan kumpulan pada 2021 berbanding 2020 kerana harga komoditi yang tinggi?
“Jika ya, adakah Pengerusi dan Lembaga Pengarah FGV bersedia untuk menerima pemotongan elaun tahunan jika berlaku penurunan pendapatan dan/atau keuntungan pada tahun selanjutnya.
“Pejuang Muda berpandangan langkah ini tidak bersesuaian jika diluluskan tanpa justifikasi kukuh kerana pada waktu ini majoriti masyarakat secara relatifnya mengalami kesukaran ekonomi.
“Keadaan ini akan lebih melebarkan jurang pendapatan golongan elit pengurusan syarikat berkaitan kerajaan serta masyarakat yang lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Rahmatullah berkata perkembangan isu tersebut akan diperhatikan semua lapisan masyarakat terutama warga Felda.
“Jika Peneroka Felda disaran untuk berjimat cermat dalam ketika pendapatan meningkat kerana harga komoditi meningkat, saranan sama boleh diberikan kepada syarikat di bawah kawalan Felda,” katanya lagi.
Semalam media melaporkan majoriti pemegang saham FGV meluluskan 13 resolusi yang dibentang Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat itu, termasuk menaikkan elaun Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengarahnya.
FGV dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, AGM secara maya sepenuhnya menyaksikan semua resolusi yang dibentang untuk pertimbangan telah diluluskan oleh pemegang saham.
“Kesemua 13 resolusi yang ditetapkan pada Notis AGM ke-14 bertarikh 28 April 2022, dibentangkan pada AGM telah diluluskan,” katanya.
Menurut Notis AGM itu, elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan daripada RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 sebulan kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh setahun iaitu bermula 24 Jun 2022 sehingga AGM akan datang.
Imbuhan Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga naik daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau daripada RM10,000 sebulan kepada RM12,500 sebulan.
Selain itu, AGM meluluskan pemberian kereta syarikat untuk kegunaan Pengerusi dengan perbelanjaan kemudahan kenderaan tahunan sebanyak RM180,000 berbanding elaun kereta syarikat RM15,000 sebulan termasuk petrol, tol dan penyelenggaraan sebelum ini.
Elaun perniagaan rasmi turut diberikan kepada Pengerusi Bukan Eksekutif dan Pengarah Bukan Eksekutif FGV sebanyak RM1,000 sehari bagi menghadiri mesyuarat dengan wakil kerajaan atau pihak ketiga.
Ia termasuk perunding, jurubank dan penasihat bagi pihak syarikat dengan laporan rasmi kepada Lembaga Pengarah atau Lembaga Jawatankuasa; atau lawatan rasmi ke projek dan atau rujukan tapak untuk menasihati pengurusan dan atau syarikat. – Malaysiapost