TIGA syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) dan U Mobile Sdn Bhd (U Mobile) dikenakan Arahan Suruhanjaya daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) susulan gagal memenuhi piawaian perkhidmatan jalur lebar.
Syarikat berkenaan juga berdepan dengan penalti berat sehingga RM200,000 mengikut Seksyen 109, Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM).
Dalam satu kenyataan, SKMM memaklumkan Arahan Suruhanjaya yang didaftarkan pada 19 Mei lalu, menuntut ketiga-tiga syarikat itu untuk membuat penambahbaikan kualiti perkhidmatan dan kualiti pengalaman pengguna terhadap tahap yang baik dan memenuhi Standard Mandatori bagi Kualiti Perkhidmatan (MSQoS).
“SKMM telah menjalankan audit teknikal ke atas perkhidmatan jalur lebar mengikut MSQos di 3,038 lokasi di 13 negeri dan tiga wilayah persekutuan. Kesemua lokasi ini dipilih berdasarkan rekod lokasi aduan yang diterima oleh SKMM.
“Daripada 3,038 lokasi itu, 40 notis wajib kepatuhan membabitkan 449 lokasi terawal gagal telah dikeluarkan dari 1 Januari 2022 hingga 15 Jun lalu. Tiga maklum balas notis telah dinilai dan SKMM telah mengeluarkan Arahan Suruhanjaya kepada tiga syarikat telekomunikasi berkenaan,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut SKMM, beberapa kawasan yang dikenalpasti untuk pembaikan perkhidmatan kualiti itu adalah di Langkawi, termasuk Langkawi Highway dan beberapa kawasan pelancongan lain.
Suruhanjaya itu memaklumkan, aktiviti proses audit merupakan rutin yang sering dilakukan pihaknya bagi memantau tahap prestasi kualiti perkhidmatan yang disediakan oleh penyedia perkhidmatan.
“Bermula pada tahun 2021, SKMM telah menjalankan transformasi terhadap semua pejabat negeri di mana salah satu penambahbaikan yang dilakukan adalah dengan menambah peralatan dan pasukan audit yang dahulunya enam pasukan, kini terdapat 14 pasukan untuk menjalankan audit di lapangan.
“Selain itu, SKMM turut memperketatkan penguatkuasaan MSQoS Perkhidmatan Capaian Jalur Lebar Tanpa Wayar, jika sebelum ini audit dijalankan di beberapa wilayah, kini ia dijalankan di seluruh lokasi,” katanya.
SKMM menegaskan akan terus komited untuk memastikan rakyat di negara ini terus terhubung dan berupaya bagi memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi. – Malaysiapost