Hubungan kerajaan persekutuan dan negeri perlu dimurnikan – Salahuddin Ayub

Hubungan kerajaan persekutuan dan negeri perlu dimurnikan – Salahuddin Ayub

AHLI Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram Datuk Seri Salahuddin Ayub menggesa agar hubungan kerajaan persekutuan dan negeri dimurnikan dan suara-suara negeri yang berhasrat untuk keluar dari Malaysia mesti ditangani.

Naib Presiden Pakatan Harapan (PH) dan Timbalan Presiden Amanah itu, menegaskan perkara itu perlu ditangani dengan perbincangan yang membina iaitu perlu kepada suatu tindakan politik dan pentadbiran dua hala yang lebih bertanggungjawab.

“Perlu kepada penubuhan segera Suruhanjaya Perhubungan Persekutuan dan Negeri terutama dalam menilai secara holistik ketidakpuasan hati yang boleh membawa kecederaan yang lebih parah hubungan kerajaan negeri dan pusat.

“Perkara ini juga disuarakan oleh Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Liew Chin Tong,” katanya yang berkongsi empat teras ucapannya dalam Sidang DUN Johor bersempena membahas usul terima kasih Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, Salahuddin.

Selain isu hubungan antara kerajaan negeri dan persekutuan, beliau turut menyentuh mengenai perjalanan sidang DUN yang suram dan membosankan.

“Telah sampai masanya DUN Johor perlu direformasikan kerana perjalanan sidang sangat suram dan membosankan.

“Persidangan seolah-olah seperti pertandingan pidato piala perdana menteri. Peraturan mesyuarat tidak mengizinkan celahan untuk meminta penjelasan.

“Ini tidak selari dengan semangat ‘House of Commons’ yang menjadi penanda aras mutu kecemerlangan badan-badan perundangan seperti parlimen dan dewan undangan negeri,” katanya.

Beliau berkata, selain itu kerajaan Johor juga perlu memandu hala tuju pentadbiran yang lebih pro rakyat terutama membantu meningkatkan kembali ekonomi rakyat pasca pandemik Covid-19.

“Pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti punya visi yang jelas untuk membantu rakyat, peniaga-peniaga kecil dan usahawan yang sedang bertarung untuk kembali memulihkan perniagaan mereka.

“Jangan ada tindakan PBT dan jabatan-jabatan kerajaan yang menyaman secara melampau dan tidak berhati perut,” katanya.

Beliau mendakwa terdapat bukti kukuh ada peniaga kecil yang dinaikkan kadar sewa dan tunggakan sehingga puluhan ribu ringgit semasa pendemik Covid-19 melanda negara.

Salahuddin menegaskan, beliau akan terus berjuang memberikan pembelaan yang sewajarnya.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri melalui Menteri Besar mengkaji pengagihan projek-projek yang telah diberikan kepada Syarikat Konsesi Safwa Global Venture (SGV) di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS).

“Jika tersalah urus dan berlaku ketidakadilan dalam pelaksanaan adalah dibimbangi hampir tiga ribu kontraktor bumiputera G1, G2, G3 dan G4 yang bakal gulung tikar,” katanya.

Sultan Ibrahim ketika bertitah pada majlis Perasmian Pembukaan Penggal Persidangan Pertama DUN Johor Ke-15 baru-baru ini dilaporkan bertitah menggesa Kerajaan Persekutuan memberi peruntukan lebih banyak kepada negeri itu.

Baginda menzahirkan perasaan sedih dengan keadaan bangunan Persekutuan yang tidak diselenggara dengan baik seperti Hospital Sultanah Aminah (HSA), Hospital Sultan Ismail (HSI) dan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sultan Iskandar.

Sultan Ibrahim dalam titah ucapan turut menyatakan kemungkinan Johor akan lebih maju jika berdiri di atas kaki sendiri.

“Jangan sampai rakyat Johor mendesak untuk keluar dari Malaysia,” tegas Baginda. – Malaysiapost

Komen