PROJEK pembangunan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang akan menjadi ibu negara Indonesia yang baharu dijadual akan dimulakan Ogos ini.
Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat (PUPR) Republik Indonesia, Basuki Hadimuljono memaklumkan perkara itu kepada Presiden Joko Widodo yang dalam lawatan ke lokasi Istana Presiden di kawasan IKN di Kalimantan Timur, Rabu lalu.
Dalam satu kenyataan di laman Facebook Kementerian PUPR, memaklumkan Jokowi bersama beberapa wakil media negara berkenaan mengunjungi lokasi titik 0 yang juga lokasi cadangan bagi Istana Presiden.
“Presiden Joko Widodo optimistis bahwa pembangunan infrastruktur di IKN dapat berjalan dengan lancar dan sesuai dengan tempoh masa dirancangkan,” menurut kenyataan itu.

Indonesia sebelum ini dilaporkan merancang untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan Timur mulai suku pertama 2024, selepas beberapa kali cadangan itu tertangguh selama beberapa bulan susulan kemunculan pandemik Covid-19.
Nusantara berkeluasan 56,180 hektar, nama yang dipilih sebagai menggantikan ibu kota Jakarta, merupakan projek mega yang dianggar bernilai AS$34 bilion (sekitar RM150 bilion).
Jokowi sebelum ini menjangkakan IKN itu akan dapat disiapkan dalam tempoh 15 ke 20 tahun. – Malaysiapost