Isham Jalil bakal dilantik ahli MKT Umno?

Isham Jalil bakal dilantik ahli MKT Umno?

SELEPAS digugurkan sebagai Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, kini timbul desas-desus Isham Jalil akan dilantik sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Ia selepas beliau mengesahkan dijemput menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno di ibu pejabat Umno, malam ini.

“Saya telah dimaklumkan oleh Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan bahawa saya telah dijemput untuk menghadiri sesi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di PWTC pada malam ini.

“Terima kasih kerana sudi jemput saya untuk menghadiri sesi mesyuarat bagi badan tertinggi parti pada malam ini. Saya akan hadir.

“Sebagai ahli Umno dari akar umbi, saya akan bantu parti dengan apa yang termampu untuk kepentingan rakyat dan negara,” kongsinya menerusi hantaran di Facebooknya.

Perkembangan terbaharu itu hadir ketika Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dilapor dilucutkan jawatan sebagai ahli MKT Umno.

Pada 8 Jun lalu, BN Selangor memutuskan untuk menamatkan jawatan Isham sebagai Ketua Penerangan BN negeri itu berkuatkuasa serta-merta.

Perkara itu disahkan Isham yang memaklumkan keputusan dibuat kerana jawatan berkenaan tidak termaktub di dalam Perlembagaan BN. – Malaysiapost

Komen