Isham Jalil dilantik ahli MKT Umno, ganti Tajuddin

Isham Jalil dilantik ahli MKT Umno, ganti Tajuddin

BEKAS Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang dilantik hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli-ahli MKT Umno hari ini.

Terdahulu, Mesyuarat MKT berlangsung di Ibu Pejabat Umno, Menara Dato Onn dengan dipengerusikan Ahmad Zahid.

Difahamkan, pelantikan Isham itu adalah bagi menggantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang telah digugurkan dari MKT baru-baru ini.

Dalam pada itu, Ahli MKT yang juga Speaker Dewan Undangan Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi turut berkongsikan gambar Isham mengangkat sumpah.

“Tahniah. Saudara Isham Jalil. MKT Umno malam ini,” tulisnya ringkas.

Sebelum ini, media melaporkan, Tajuddin yang juga Duta Besar Malaysia ke Indonesia, digugurkan sebagai ahli MKT Umno disebabkan sikap beliau yang mengkritik parti.

Ahmad Zahid berkata, kritikan itu dibuat menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan secara terperinci punca Ahli Parlimen Pasir Salak itu dipecat.

“Saya fikir tanya beliau sendiri, itulah sebaiknya. Tidak adil untuk saya memberitahu mengenai kenapa tetapi tentunya beliau mengetahui apa yang beliau lakukan,” katanya. – Malaysiapost

Komen