Keputusan bebas atau bela diri Bung Moktar, Zizie pada 2 September

Keputusan bebas atau bela diri Bung Moktar, Zizie pada 2 September

KEPUTUSAN sama ada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, akan dilepaskan atau dipanggil membela diri atas tuduhan rasuah RM2.8 juta akan diketahui 2 September ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rozina Ayob, menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan peguam yang mewakili Bung Moktar dan Zizie, hari ini.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How, berhujah dalam kes itu tertuduh pertama dan kedua memainkan peranan masing-masing bagi melengkapkan transaksi pelaburan Felcra Berhad ke dalam Public Mutual Fund dengan pengetahuan Bung Moktar akan mendapat manfaat kewangan daripada pelaburan itu, lapor Berita Harian.

Katanya, walaupun pembelaan Zizie cuba berdolak dalih dengan menyatakan wang suapan diterima bagi semua transaksi adalah bayaran pengenalan atas dasar sukarela, namun pembelaan itu adalah lemah dan tidak masuk akal.

“Adalah mustahil saksi ke-24 dan ke-25 pendakwaan (SP24 dan SP25) iaitu ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 43, dan perunding unit amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, sanggup membayar RM2.8 juta secara keseluruhan kepada Zizie, di mana jumlah itu adalah separuh daripada jumlah kadar komisyen yang diterima.

“Walaupun SP25 berkata jumlah yang besar adalah strategi pemasaran dalam memasarkan produk unit amanah, namun ia adalah tidak munasabah dan tidak masuk akal kerana membayar lebih separuh keuntungan dikaut atas usaha sendiri kepada orang tengah atau ejen yang memperkenalkan bakal pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, keterangan SP25 yang menyatakan RM2.8 juta adalah bayaran pengenalan untuk tertuduh kedua adalah strategi perniagaan, namun ia tidak sepatutnya boleh diterima oleh mahkamah menurut Seksyen 57 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Keterangan SP25 tidak pernah disokong dengan sebarang dokumen yang membuktikan saksi pernah membayar sejumlah wang yang besar kepada pengenalan lain,” katanya.

Tambahnya, Zizie memainkan peranan aktif dari awal hingga akhir bagi ketiga-tiga transaksi, maka unsur persubahatan berjaya dibuktikan ke atasnya yang kerap membantu Bung Moktar memperoleh wang suapan itu.

“Zizie tahu Bung Moktar adalah ahli politik terkenal dan Pengerusi Felcra Berhad yang berkuasa dan berpengaruh.

“Bagaimanapun, Zizie tetap memperkenalkan SP25 kepada Bung Moktar dan akhirnya menerima kononnya bayaran pengenalan sebanyak RM2.8 juta untuk diri sendiri,” katanya.

Sementara itu, peguam M Athimulan, yang mewakili Bung Moktar, berhujah keterangan SP24 dan 25 tidak menyebut apa-apa berhubung pemberian suapan kepada anak guamnya menerusi tertuduh kedua.

Katanya, tiada bukti daripada mereka suapan pergi kepada tertuduh pertama dan suapan itu diberikan oleh Zizie kepada Bung Moktar.

“Untuk mengekalkan pertuduhan, adalah wajib untuk membuktikan suapan sudah dibayar, diterima dan diperoleh,” katanya.

Bung Moktar, 64, didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang juga Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA ketika itu, didakwa menerima rasuah daripada Madhi melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang 12 Jun 2015.

Bung Moktar juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Manakala Zizie Izette, 44, mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama. – Malaysiapost

Komen