Photo from Wanfai Ismayatim
KERAJAAN perlu memberi penekanan serius terhadap usaha meningkatkan penyelidikan dan pembangunan dalam sektor pertanian, kata Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurut bekas Perdana Menteri itu, ia bagi memastikan keselamatan makanan negara terjamin sekali gus meningkatkan produktiviti hasil pertanian negara.
Pada masa sama katanya, kerajaan perlu menambahbaik infrastruktur pertanian secara berterusan dan memperluas penggunaan ‘precision farming’ untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian dengan kos rendah.
“Selain itu, bagi menjamin keselamatan makanan negara, empat pendekatan secara holistik perlu diberi tumpuan iaitu capaian (accessibility), ketersediaan (availability), penggunaan (utilisation) dan kelestarian serta kestabilian (stability & sustainability).
“Pendekatan ini mampu memberi penyelesaian jangka masa pendek dan panjang bagi memastikan keselamatan makanan negara terjamin dan harga barang makanan stabil.
“Kesejahteraan rakyat dalam usaha pemulihan negara terus menjadi fokus saya selaku Pengerusi MPN dan Insya-Allah kegusaran rakyat dalam isu membebankan ini akan diperjuangkan oleh saya dan ahli-ahli MPN,” katanya menerusi kenyataan.
Terdahulu semalam beliau hadir perbincangan meja bulat berkenaan isu keselamatan makanan anjuran Institut Masa Depan Malaysia (Institut MASA) bersama pimpinan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
Menurut Muhyiddin, kenaikan harga barang makanan yang mendadak kebelakangan ini semestinya memberi kesan besar kepada rakyat.
Katanya, walaupun antara sebab kenaikan harga itu merupakan faktor luaran seperti ketidakstabilan politik dunia, keputusan menarik balik kawalan harga dan subsidi pasti memberi kesan ke atas kenaikan harga dan kos sara hidup.
“Sewaktu pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan saya, antara inisiatif prihatin rakyat yang diberi keutamaan adalah keselamatan makanan ataupun food security.
“Satu Jawatankuasa Kabinet dipengerusikan saya selaku Perdana Menteri mengenai Dasar Makanan Negara ditubuhkan pada 30 April 2020 bagi merangka Dasar Sekuriti Makanan Negara secara lebih holistik dan mampan.
“Pada mesyuarat MPN lalu, saya turut menggesa supaya Jawatankuasa Kabinet tersebut diaktifkan semula dalam usaha memastikan keselamatan makanan terjamin,” katanya.
Tambahnya, beliau faham bahawa kawalan harga dan subsidi bukanlah penyelesaian jangka panjang terhadap isu jaminan keselamatan makanan dan kenaikan harga bahan makanan di negara ini.
“Kita memerlukan suatu penyelesaian jangka panjang yang holistik dengan mengambil kira cabaran dan potensi sektor agro makanan di negara ini,” katanya lagi. – Malaysiapost