Kit Siang gesa Jemaah Menteri beku kenaikan gaji, elaun GLC dan GLIC
AHLI Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa Jemaah Menteri supaya membekukan semua kenaikan gaji dan elaun bagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sehingga ekonomi negara kembali pulih.
Veteran DAP itu menggesa tindakan itu dibuat dalam Mesyuarat Kabinet pada Rabu akan datang dan perkara itu perlu dibentangkan dalam Sidang Parlimen pada 18 Julai ini bagi mendapatkan kelulusan.
Menurutnya, mereka yang melanggar arahan itu harus dipecat.
Beliau membuat gesaan itu susulan laporan mengatakan FGV Holdings Bhd (FGV), iaitu entiti yang dimiliki 80 peratus oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), menaikkan elaun tahunan pengerusinya daripada RM300,000 kepada RM480,000 pada mesyuarat agung tahunannya semalam.
Kit Siang berkata, keputusan FGV itu dibuat hanya sehari selepas Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan tambahan Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) sebanyak RM100 untuk keluarga dan RM50 untuk penerima bujang.
“Ini (kenaikan) bukan sahaja melampau ketika negara sedang bergelut dengan kesukaran ekonomi, tetapi tidak masuk akal dan perlu disekat oleh Jemaah Menteri dan Parlimen.
“Jemaah Menteri dan Parlimen mesti menyampaikan mesej tegas bahawa sekarang adalah masa untuk mengikat perut, bukan untuk berlebih-lebihan dan membazir.
“Adakah Jemaah Menteri dan Parlimen akan menyampaikan mesej tegas sedemikian?” soalnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, Pengerusi FGV Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan enam ahli lembaga pengarahnya boleh memulihkan keadaan dengan mengumumkan tidak akan menerima kenaikan elaun berkenaan. – Malaysiapost