PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan parti itu tetap akan bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Kenyataan tersebut menjawab cadangan daripada pemimpin parti itu agar PAS bertanding menggunakan logo sendiri.
“Itu pandangan peribadi. Sekarang ini kita masih menggunakan lambang PN,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin dilaporkan berkata adalah lebih baik jika parti itu bertanding menggunakan logo sendiri pada PRU15.
Katanya, menggunakan logo PAS yang sudah dikenali ramai sejak 70 tahun lalu akan membantu memberi kelebihan kepada calon-calon parti itu untuk menang.
Mengulas hubungan PAS dan Umno, Abdul Hadi berkata hubungan antara dua parti besar Melayu itu masih diteruskan.
“Hubungan dengan Umno masih diteruskan. PAS mempertahankan perpaduan ummah. Itu agenda kita. Pertahankan Muafakat Nasional (MN) pertahanankan PN,” ujarnya.
Abdul Hadi berkata, PRU15 perlu disegerakan jika dalam keadaan yang memerlukan untuk membina kekuatan kerajaan.
“Kita bersetuju pilihan raya diadakan pada habis penggal. Tapi kalau dalam keadaan yang memerlukan untuk membina kekuatan kerajaan, perlu disegerakan pilihan raya itu,” katanya. – Malaysiapost