PEMILIK sebuah restoran dikenakan kompaun kerana membuat pengubahsuaian haram sehingga melindungi pili bomba di kaki lima seperti yang tular di media sosial, hari ini.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam hantaran Facebok, berkata anggota penguatkuasa telah membuat pemantauan di restoran yang terletak di Seksyen 13 itu setelah menerima aduan awam.
“Semasa pemeriksaan dijalankan pihak bomba turut berada di lokasi dan mengeluarkan notis kompaun ke atas pemilik restoran.
“Pihak MBSA telah mengeluarkan satu kompaun dan satu notis halangan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974, Akta 133,” katanya.
Semakan di ruangan komen mendapati rata-rata netizen kesal dengan sikap pemilik restoran yang tidak memikirkan keselamatan orang awam membuat pengubahsuaian sehingga sebahagian pili bomba tertanam.
“Patut bawa jentera gerudi terus pecahkan sahaja simen. Biar pemilik restoran tahu sikit. Ini setakat kompaun apa dia heran,” kata Mohdsaman.
“Kes macam ni bila berlaku kebakaran menyusahkan pihak bomba. Lepas tu salahkan mereka lambat buat kerja. Sikap masing-masing yang tak bertanggungjawab,” kata Khairul Ynwa.
“Orang ramai pun kena jadi mata-mata pihak berkuasa. Memang penguatkuasa ada buat rondaan tapi tak mampu mereka periksa semua premis. Orang awam pun kena bekerjasama bantu MBSA,” kata Azmi Abdul. – Malaysiapost