Pendekatan PM terajui Keluarga Malaysia tidak wajar dikritik – Zurainah Musa

AHLI Umno terutama pemimpin senior disarankan berfikir dengan waras dan mengawal emosi serta membuat teguran melalui saluran yang betul terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden Umno.

Ketua Wanita Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Zurainah Musa, berkata adalah amat janggal, seorang pemimpin ‘senior’ tambahan pula sesama Umno sanggup memperlekehkan seorang Perdana Menteri yang datangnya dari Umno sendiri.

“Saya merasakan kenyataan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang mengkritik Perdana Menteri secara terbuka baru-baru ini adalah tidak wajar.

“Saya amat kecewa dengan kritikan terbukanya yang menyatakan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dari Umno yang paling lemah dalam sejarah negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Nur Jazlan yang dilaporkan mengkritik Perdana Menteri berhubung kelewatan membuat keputusan kedudukan jawatan Menteri Ahli Parlimen Ampang Datuk Zuraida Kamarudin dalam Kabinet.

Menurut Zurainah, tindakan itu jelas menunjukkan sikap Nur Jazlan yang tidak menghormati Perdana Menteri iaitu pemimpin Keluarga Malaysia yang disayangi dan dihormati rakyat. 

Beliau berpendapat, sikap dan tindakan sedemikian tidak melambangkan semangat berpasukan.

“Sepatutnya, beliau (Nur Jazlan) perlu melaksanakan pertemuan dengan pemimpin itu seandainya mempunyai sebarang pendapat mahupun idea yang boleh dikongsi untuk membantu demi kebaikan bersama dalam menerajui kepimpinan negara.

“Saluran dan ruang pasti ada untuk menyampaikan pandangan walaupun berbeza pendirian,” katanya.

Beliau yakin Ismail Sabri sebagai salah seorang pemimpin tertinggi Umno, bersikap terbuka dan akan menerima pandangan tidak terhad kepada sesiapa. 

“Saya sarankan seharusnya sebelum mengeluarkan kenyataan, fikir dengan waras, kawal emosi dan buatlah teguran disaluran yang betul. Jangan terlebih sudu dari kuah pula ya,” katanya. – Malaysiapost 

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights