Pulau Batu Puteh: ‘Tun M tidak faham makna kedaulatan negara’ – Mohd Hairi
PEMUDA Umno Johor menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak memahami makna dan signifikan tuntutan sebidang tanah dengan kedaulatan sesebuah negara.
Ketuanya Mohd Hairi Mad Shah, berkata walaupun Dr Mahathir beranggapan Pulau Batu Putih atau Pedra Branca hanya sebesar meja, tetapi pihaknya berpendirian itu adalah lambang kedaulatan dan amat malang jika tiada usaha untuk memperjuang atau menuntutnya.
Katanya, Dr Mahathir juga mendakwa kehilangan Pulau Batu Puteh adalah kesilapan kerajaan Johor dan menafikan pulau itu milik Johor.
“Kata beliau sekiranya penafian itu tidak dibuat, tidak akan ada pertikaian sekarang. Persoalannya di sini, jika benar pun kerajaan Johor sebelum ini membuat penafian berkenaan status pulau itu, adakah satu ‘dosa besar’?
“Kerajaan Johor atau Persekutuan hari ini membuat tuntutan dan semakan jika ada dokumen atau bukti sokongan yang boleh diguna pakai atau mencabar keputusan sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Mohd Hairi berharap Dr Mahathir tidak lagi memberi alasan atau berdolak dalih mengenai tindakannya membuat keputusan menarik balik semakan dan pentafsiran penghakiman Pulau Batu Puteh.
Beliau berkata, pihaknya tetap dengan pendirian dan menjunjung titah Sultan Johor yang mahukan semakan dan pentafsiran penghakiman diteruskan bagi mendapatkan semula kedaulatan Johor.
“Dr Mahathir dalam satu kenyataan di Facebook menafikan apa yang beliau sebut dalam satu kongres pad Ahad lalu berkaitan tuntutan terhadap Singapura dan Kepulauan Riau.
“Dalam penafian itu, beliau menyalahkan laporan media dan menegaskan tidak pernah meminta supaya Malaysia menuntut semula kedua-dua wilayah tersebut.
“Beliau juga menambah kenyataannya ketika itu mahu menunjukkan bahawa rakyat Malaysia khususnya di Johor begitu bimbang kehilangan batu sebesar meja tetapi tidak pernah menuntut bahagian yang lebih besar,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, Dr Mahathir mendakwa kenyataannya yang mendesak Malaysia menuntut semula Riau dan Singapura kerana kedua-dua wilayah itu adalah sebahagian daripada Tanah Melayu telah dilaporkan di luar konteks.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Langkawi itu menjelaskan, kenyataan beliau hanya merujuk kepada Pulau Batu Puteh yang pemilikannya menjadi kebimbangan rakyat Malaysia berbanding wilayah lain yang sebelum ini diambil dari Malaysia.
Menurutnya, kehilangan pulau kecil itu bukanlah satu perkara besar dan ia merupakan kesilapan kerajaan Johor yang menafikan pemilikan pulau itu. – Malaysiapost