MENTERI Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim mengadakan sesi dialog bersama Ahli Parlimen Kuala Lumpur dan persatuan perniagaan minuman keras.
Perbincangan yang berlangsung di ibu negara malam tadi turut dihadiri Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
“Kami berbincang antaranya mengenai Garis Panduan Lesen Minuman Keras yang bertujuan untuk mengawal kemudahdapatan penjualan dan pengambilan minuman tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pada 30 September tahun lalu, DBKL mengumumkan penangguhan penguatkuasaan larangan penjualan minuman keras di kedai runcit dan serbaneka di ibu negara yang sepatutnya dijadual berkuatkuasa pada 1 Oktober 2021.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat DBKL memaklumkan ia ditangguhkan sehingga 31 Oktober 2021 bertujuan untuk memuktamadkan kajian berkaitan kawalan penjualan minuman keras di Kuala Lumpur.
“DBKL ingin merujuk kepada satu Garis Panduan Lesen Minuman Keras (LMK) yang telah digunapakai berkuatkuasa pada 15 November 2020 dan telah dimuatnaik di laman sesawang https://elesen.dbkl.gov.my/.
“Garis panduan LMK tersebut menyatakan bermula 1 Oktober 2021 penjualan minuman keras (liquor) di kedai runcit, serbaneka, dan kedai ubat cina tidak dibenarkan.
“Walau bagaimanapun larangan ini ditangguhkan bagi tempoh satu bulan mulai 1 Oktober 2021 sehingga 31 Oktober 2021,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu turut memaklumkan, kemudahdapatan dan aksesibiliti liquor telah menjadi aduan dan bantahan, kerana ia mendatangkan kemudaratan kepada keselamatan orang ramai. – Malaysiapost