MASIH belum ada pengesahan daripada parti itu berhubung pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Ahli Majlis Kerja (MKT) Umno.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika dihubungi Malaysiapost tidak mengesahkan mengenai perkara itu termasuk surat yang tular dikaitkan dengan pemecatan Tajuddin.
Sebaliknya dalam satu mesej melalui aplikasi What’s App, Ahmad hanya memaklumkan mesyuarat MKT Umno akan berlangsung malam ini di ibu negara.
Jika benar berita mengenai pemecatan Tajuddin daripada jawatan MKT, ia kemungkinan besar akan diumumkan selepas mesyuarat parti itu malam nanti.
Mesyuarat MKT Umno yang akan berlangsung bakal dipengerusi Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Bagaimanapun sumber Umno memaklumkan Malaysiapost bahawa surat yang tular adalah sahih.
Tajuddin sememangnya dikenali sebagai pemimpin yang lantang dan berani mengkritik kepimpinan parti itu.
Beliau bakal dilantik sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan sepatutnya menerima watikah Isnin lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan kerana Yang di-Pertuan Agong gering.
Untuk rekod Tajuddin adalah ahli MKT Umno yang dilantik oleh Presiden parti.
Terdahulu tersebar satu surat yang ditandatangi Setiausaha Agung Umno bagi memaklumkan pengguguran Tajuddin daripada jawatan berkenaan.
Surat yang bertarikh 21 Jun itu turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat baktinya selama ini.
Selain turut merakamkan ucapan tahniah di atas pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.- Malaysiapost