Warga emas ditemui rentung dalam kebakaran rumah

LELAKI warga emas ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Sukun, Kampung Kanchong Darat, Kuala Langat malam tadi.

Mangsa berusia 66 tahun ditemui berhampiran pintu keluar kediamannya selepas dipercayai tidak sempat menyelamatkan diri dalam kebakaran itu.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor, berkata jentera dan anggota dari Balai Bomba Banting ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 8.17 malam.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah bangunan kelas C yang terbakar 80 peratus. Api berjaya dikawal pada jam 8.43 malam dan pada peringkat awal didapati tiada mangsa.

“Tetapi pada jam 9.32 malam isteri mangsa memaklumkan suaminya berada di rumah sejak petang dan setelah membuat pencarian bomba menemui mayat seorang lelaki rentung di bahagian belakang rumah berhampiran pintu,” katanya dalam satu kenyataan.

Hafisham berkata, menurut isteri mangsa, rumah berkenaan adalah rumah persinggahan mereka.

“Rumah berkenaan rumah singgah untuk berkebun sahaja. Suaminya memaklumkan mahu berehat sekejap sebelum pulang ke rumah,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights