Beku kenaikan elaun pengerusi, pengarah FGV – Kit Siang

Beku kenaikan elaun pengerusi, pengarah FGV – Kit Siang

VETEREN DAP, Lim Kit Siang menggesa kerajaan membekukan kenaikan elaun tahunan Pengerusi FGV Holdings Bhd termasuk enam ahli lembaga pengarah syarikat itu.

Beliau berkata, pemberian kenaikan elaun tahunan itu sifatkan sebagai melampau dan keterlaluan.

“Saya mengulangi seruan saya kepada Kabinet yang bermesyuarat Rabu hadapan mengeluarkan arahan membekukan kenaikan gaji dan elaun di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan untuk memecat mana-mana lantikan GLC dan GLIC yang mengingkari arahan ini.

“Arahan Kabinet ini kemudiannya perlu dibentangkan ke parlimen pada 18 Julai untuk mendapat persetujuan Parlimen.

“Pengerusi FGV Holdings Bhd, Datuk Zulkifli Abd Wahab dan enam ahli Lembaga Pengarah FGV juga perlu mengumumkan yang mereka tidak akan menerima peningkatan elaun yang keterlaluan sebegini yang diluluskan dalam mesyuarat agung tahunannya dua hari lepas,” katanya dalam kenyataan.

Pada Khamis lalu, majoriti pemegang saham FGV meluluskan 13 resolusi yang dibentangkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat perladangan itu termasuk menaikkan elaun Pengerusi dan ahli lembaga Pengarahnya.

Elaun Pengerusi Bukan Eksekutif FGV dinaikkan dari RM300,000 kepada RM480,000 atau bersamaan RM25,000 kepada RM40,000 sebulan bagi tempoh satu tahun, bermula 24 Jun 2022 sehingga AGM akan datang.

Imbuhan Pengarah Bukan Eksekutif FGV bagi tempoh sama juga dinaikkan daripada RM120,000 kepada RM150,000 atau dari RM10,000 kepada RM12,500 sebulan. – Malaysiapost

Komen