SETIAUSAHA Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan keputusan menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Rahman sebagai ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno adalah bagi memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pasir Salak itu bertugas sepenuh masa sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia yang baharu.
Ahmad berkata, atas alasan itu tempat Tajuddin dalam parti digantikan oleh bekas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil yang mengangkat sumpah, malam tadi.
Jelasnya lagi, adalah menjadi kuasa Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melantik beberapa jawatan tertinggi termasuk 13 lantikan ahli MKT.
“Presiden boleh melantik Setiausaha Agung, Ketua Penerangan dan Bendahari serta 13 lantikan ahli MKT,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat MKT di Menara Dato Onn, malam tadi.
Terdahulu, Isham, 46, mengangkat sumpah di hadapan Ahmad Zahid sebagai Ahli MKT Umno yang baharu malam tadi bagi menggantikan Tajuddin.
Sementara itu, mengulas mengenai hasrat Parti Bangsa Malaysia (PBM) untuk menyertai BN, Ahmad berkata, perkara itu perlu diputuskan secara konsensus di peringkat Majlis Tertinggi BN.
Jelasnya, Majlis Tertinggi BN belum lagi memutuskan untuk bermesyuarat bagi membincangkan hasrat PBM menyertai gabungan berkenaan.
“Itu adalah keputusan secara konsensus daripada Majlis Tertinggi BN yang belum lagi bermesyuarat,” katanya. – Malaysiapost