MB jamin masalah air lebih tiga dekad selesai tahun depan
MENTERI Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan masalah bekalan air yang membelenggu penduduk Kampung Bukit Kuin, Kuantan sejak 35 tahun dahulu, dijangka selesai menjelang suku pertama tahun hadapan.
Menurutnya, walaupun perlu menunggu hingga April 2023, namun beliau memberi jaminan bahawa projek naik taraf sistem bekalan air di kampung itu dapat disiapkan mengikut jadual.
“Kalau dapat siap lebih awal, lagi bagus kerana ia dapat memberi manfaat kepada penduduk di sini.
“Saya sudah mengingatkan kepada kontraktor dilantik bagi kerja naik taraf ini, kalau tak siap, kita ambil tindakan tegas,” katanya kepada media selepas melakukan pecah tanah projek naik taraf sistem bekalan air di kampung berkenaan, petang tadi.
Mengikut rekod Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP), perkampungan tradisional yang terletak di pinggir bandar raya Kuantan itu mempunyai 5,700 akaun dengan syarikat berkenaan.
Sejak dua tahun lalu, lebih 100 laporan kebocoran paip dilaporkan di kampung terbabit, dipercayai berpunca sistem saluran paip lama dan berada dalam keadaan uzur.
Ketika ditanya lebih lanjut mengenai projek itu, Wan Rosdy menjelaskan kos bagi kerja naik taraf sistem bekalan air berjumlah RM5.7 juta adalah peruntukan khas Kementerian Kewangan melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA).
“Saya percaya penduduk di sini faham bahawa proses memperoleh peruntukan bukanlah mudah dan ada proses yang perlu dilalui.
“Tapi, ia membabitkan kerjasama semua peringkat, suara dari pemimpin setempat, ahli dewan undangan negeri dan seterusnya ahli Parlimen.
“Kebetulan ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah Timbalan Menteri Kewangan, jadi ia sedikit sebanyak (membantu) mempermudahkan proses itu,” katanya.
Sementara itu ditanya mengenai sikap pembangkang yang sentiasa mencari jalan menuduh kerajaan Pahang tidak bersungguh-sungguh dalam menyelesaikan isu air di negeri ini, Wan Rosdy memberitahu itu adalah tugas pembangkang.
“Benda macam itu biasalah, mereka (pembangkang) hanya buat isu saja, sudah memamg kerja dia, membangkang.
“Macam hari inilah, kita buat (pecah tanah), nanti mereka akan cakap baru sekarang nak buat dan benda ini mereka akan ulang sampailah (projek) siap,” katanya. -Malaysiapost