Tahniah! Fizo Omar, isteri timang bayi perempuan

Tahniah! Fizo Omar, isteri timang bayi perempuan

ISTERI pelakon Fizo Omar, Fazeera Nazri Azrai selamat melahirkan bayi perempuan, ada jam 12.34 tengah malam tadi.

Khabar gembira itu dikongsikan Fizo, atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 37 menerusi Instagram miliknya hari ini.

Fizo berkata, isterinya bersalin dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan, namun dia sangat bersyukur keadaan Fazeera serta anaknya sihat serta proses kelahiran itu dipermudahkan.

“Alhamdulillah, satu lagi anugerah terindah daripada Allah. Isteri saya selamat melahirkan bayi perempuan dua minggu lebih awal dari tarikh jangkaan.

“Ibunya selamat dan bayi comel. Terima kasih Hospital Andorra atas keramahan layanan. Kami sangat gembira dengan kemesraan kakitangan, pasukan di bilik bersalin yang begitu memberi perhatian dan banyak membantu tunaikan keperluan terutama untuk si ibu dan bayi,” katanya.

Fizo berkata, beliau juga bersyukur dan berterima kasih kepada semua di atas doa untuk isteri dan anaknya sepanjang proses itu.

“Terima kasih khasnya buat Dr Khamsiah Muda yang sentiasa bersama kami sepanjang perjalanan kehamilan itu serta melancarkan proses bersalin.

“Terima kasih di atas doa daripada semua okey. Okeylah, ‘daddy’ sudah nak ‘on duty’ ini,” katanya.

Fizo dan Fazeera berkahwin pada Oktober tahun lalu selepas lebih setahun berkenalan.

Fizo sebelum ini pernah berkahwin dengan usahawan, Mawar Karim pada November 2013 namun bercerai pada 10 Julai 2019.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang anak perempuan Wan Maryam. – Malaysiapost

Komen