Umno tidak akan berkompromi ahli yang merencatkan kekuatan parti – Zahid

UMNO tidak akan berkompromi terhadap ahlinya yang merencatkan pengukuhan parti itu tatkala sedang bersiap siaga menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebarang elemen yang mahu merencatkan haluan atas pendirian yang mencurigakan sukar untuk dikompromi.

“Presiden Umno menggalas amanah besar untuk meneruskan apa yang telah diputuskan dan ditetapkan oleh parti.

“Bukan untuk kepentingan mana-mana pihak atau individu, sebaliknya demi masa depan rakyat, negara dan parti Umno.

“Justeru, kesetiaan dan kebersamaan sehati sejiwa para pimpinan dan akar umbi Umno adalah paling mustahak,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, Umno telah membuat ketetapan secara kolektif mengenai hala tuju terbaik untuk PRU15 pada beberapa perhimpunan agungnya.

“Maka parti ini harus fokus kepada perancangan yang telah pun direncanakan melalui suara majoriti akar umbi dan pimpinannya.

“Dengan demikian Umno perlu sederap mara ke hadapan demi aspirasi rakyat terhadap parti keramat agama, bangsa dan negara,” katanya.

Terdahulu, Umno menggugurkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) disebabkan tindak-tanduk beliau mengkritik parti.

Ahmad Zahid berkata, kritikan itu dibuat menerusi kenyataan, ucapan dan ceramah dalam mesyuarat-mesyuarat tertutup yang dihadirinya.

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan secara terperinci punca Ahli Parlimen Pasir Salak itu dipecat. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights