Dakwa pegawai ponteng: JPM minta pemilik akaun tampil bantu siasatan

Dakwa pegawai ponteng: JPM minta pemilik akaun tampil bantu siasatan

JABATAN Perdana Menteri (JPM) meminta pemilik akaun media sosial yang mendakwa pekerja kerajaan ponteng, ketika kunjungannya ke jabatan itu, baru-baru ini untuk tampil membantu siasatan.

Unit Komunikasi Korporat JPM berkata, sehingga hari ini tiada sebarang aduan rasmi diterima oleh JPM mengenai perkara itu.

“Sehubungan itu pemilik akaun tersebut diminta segera menghubungi JPM melalui emel aduan_ukk@jpm.gov.my atau talian 03-88723430 dengan mengemukakan butiran lanjut kejadian di Kaunter JPM seperti yang dinyatakan dalam video tersebut.

“Maklumat seperti tarikh, masa dan lokasi kejadian sangat diperlukan bagi memudahkan siasatan.

“JPM sentiasa komited dan berusaha menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan,” katanya menerusi Facebook.

Pada 3 Jun lalu, satu video tiktok dengan kapsyen bertajuk ‘Kenapa perangai kerajaan macam ini’ tular menerusi akaun marythehighness, yang menyelar pekerja kerajaan, dengan mendakwa mereka malas dan tidak amanah.

Video itu antara lain mendakwa tiada pegawai di kaunter penyambut tetamu JPM ketika dia melawat jabatan itu.

Selepas lama menunggu, individu berkenaan mendakwa telah dimaklumkan oleh pegawai lain bahawa kakitangan kerajaan sudah keluar rehat sedangkan ia baru jam 12 tengah hari.

Dakwanya, ramai pelanggan yang dikatakan kakitangan kerajaan tidak keluar untuk kembali bekerja walaupun waktu rehat berakhir pada jam 2 petang.

Tambahnya, adalah tidak bermoral bagi pegawai kerajaan yang dibayar gaji oleh rakyat dan diamanahkan untuk berkhidmat, tetapi tidak menjalankan tugas mereka dengan amanah. – Malaysiapost

Komen