Kegagalan Menteri Bersatu bakal hancurkan negara – Nur Jazlan
TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Johor Datuk Nur Jazlan Mohamed, mempertikaikan peranan Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menurutnya, sehingga kini tidak membentang atau mencadangkan sebarang pelan pemulihan ekonomi negara.
Menurutnya, jawatan bertaraf menteri yang dilantik setahun lalu, bukan sahaja tiada pelan dalam krisis inflasi negara hari ini, tetapi sejak hari pertama pelantikan beliau.
“Adakah pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi MPN berbaloi dengan jawatan, gaji dan elaun yang dia terima tiap-tiap bulan?
“Atau adakah pelantikan Muhyiddin itu sekadar mahu beri dia satu kedudukan dan gaji supaya dia tidak terus dilupakan selepas diturunkan dari takhta Perdana Menteri?” soalnya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Jazlan berkata, apa yang beliau nampak, Muhyiddin lebih sibuk bermain politik, mengadu domba dan memburukkan orang lain daripada membuat kerja sebagai Pengerusi MPN.
Menurutnya, ketika ini sekurang-kurangnya 45 negara telah menaikkan kadar faedah dalam tempoh enam bulan lalu dalam usaha melawan kenaikan harga.
“Mengenakan kadar yang lebih tinggi merupakan alat untuk melawan kenaikan harga.
“Begitulah situasi terkini yang boleh kita lihat di seluruh dunia dalam usaha mereka untuk menangani inflasi dan membendung kemelesetan ekonomi yang dijangka paling teruk dalam tempoh beberapa dekad.
“Namun di Malaysia, kebanyakan kita masih menunggu penuh gusar apakah yang bakal dilakukan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, jika Bank Negara Malaysia (BNM) tidak menaikkan kadar faedah selari dengan Bank Pusat Negara lain, maka nilai ringgit akan terus susut berbanding dengan nilai matawang negara lain.
“Memandangkan kos import negara bergantung kepada nilai matawang Amerika Syarikat (USD) , Ini akan memberikan kesan negatif yang besar kepada kos import barang asas seperti makanan.
“Malaysia amat bergantung kepada import makanan dan kos makanan juga dijangka meningkat. Malah harga ayam juga susah dikawal kerana makanan ayam akan terus naik harga sebab ia pun diimport,” katanya.
Nur Jazlan berkata, masalah inflasi dan kemelesetan ekonomi tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat dan mungkin ia akan berlarutan sampai tahun 2024 dan malangnya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) perlu diadakan selewat-lewatnya Jun 2023.
“Muhyiddin dan MPN yang dipilih kalangan kroni beliau pula tidak memberikan keyakinan bahawa masalah inflasi boleh diselesaikan sebelum tempoh akhir PRU-15 tahun depan.
“Kalau dah kerajaan dan Bank Pusat AS and Eropah yang jauh lebih pandai dan diiktiraf dunia menjangkakan kemelesetan akan berlaku dalam tempoh terdekat ni, maka saya lebih yakin kepada ramalan mereka berbanding ahli nujum Muhyiddin.
“Rakyat sekarang marah dan akan menyalahkan kerajaan kerana kesusahan hidup dan ekonomi yang mereka hadapi,” katanya.
Beliau berkata, kalau PRU-15 dibuat tahun depan di tengah kemelesetan sudah tentu Umno akan dipersalahkan kerana Perdana Menteri dari Umno dan bukannya Muhyiddin atau Menteri Bersatu yang bertanggungjawab di portfolio ekonomi. – Malaysiapost