Kerajaan terpaksa membayar kos subsidi yang semakin besar – Najib

MALAYSIA masih berada dalam keadaan baik walaupun menghadapi cabaran daripada gangguan rantaian bekalan yang turut dialami negara lain di seluruh dunia, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, keadaan itu bagaimanapun menyebabkan kerajaan terpaksa membayar kos subsidi yang semakin besar.

“Cabaran daripada gangguan rantaian bekalan yang berpunca dari ekonomi dunia dibuka semula selepas pandemik serta perang Russia-Ukraine telah memberi kesan sangat besar kepada semua negara dalam dunia.

“Australia menghadapi kekurangan elektrik sebab harga siling ke atas penjanaan elektrik pada ketika kos bahan api tinggi menyebabkan ramai penjana elektrik bebas enggan membekal.

“Banyak perniagaan dan kedai Sri Lanka ditutup. Rakyat perlu beratur berhari-hari untuk mengisi minyak. Setakat ini 10 orang telah meninggal dunia semasa beratur. Stesen minyak juga dikawal rapi oleh anggota tentera bersenjata,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Menurutnya, Pakistan pula menghadkan jumlah hari bekerja dalam seminggu ke lima hari dan tidak membenarkan sebarang perniagaan untuk dibuka pada hari Ahad untuk jimat bahan api dan elektrik yang semakin mahal serta kekurangan bekalan.

“Bangladesh tidak lagi membenarkan sebarang perniagaan untuk beroperasi selepas 8 malam untuk jimat bahan api dan elektrik.

“Kita di Malaysia masih okay tetapi kerajaan terpaksa membayar kos subsidi yang semakin besar,” katanya.

Kerajaan pada Jumaat lalu memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung dan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan keputusan itu, kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain.

Menurutnya, dengan keputusan tersebut bermakna pemberian rebat 2 sen/kWj dikekalkan kepada semua pengguna domestik dan tiada surcaj dikenakan. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights