Lagi laporan polis dibuat keluarga pengasas Dnars Skincare

Lagi laporan polis dibuat keluarga pengasas Dnars Skincare

AHLI keluarga pengasas produk kecantikan Dnars Skincare, Allahyarham Faziani Rohban Ahmad membuat satu lagi laporan polis, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata laporan itu dibuat Khamis lalu berkaitan dengan kecurigaan pihak keluarga terhadap satu resolusi menukar nama salah satu syarikat milik Allahyarham.

“Kita akan buat siasatan lanjut dengan mendapatkan dokumen tertentu untuk mengenal pasti sama ada tandatangan yang diturunkan itu sah atau sebaliknya,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan, Kota Bahru, hari ini.

Menurut Muhamad Zaki, siasatan itu akan dilakukan serentak dengan laporan sebelum ini di bawah Jabatan Jenayah Komersial dan dibantu oleh Jabatan Siasatan Jenayah.

Pada 16 Jun lalu, media melaporkan ahli keluarga kepada pengasas produk kecantikan Dnars Skincare tampil membuat laporan polis menuntut siasatan lebih lanjut dilakukan berhubung kematian Allahyarham Faziani yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand pada 18 Mei 2019. – Malaysiapost

Komen