POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa mengambil tindakan terhadap aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di seluruh negara termasuk pusat-pusat hiburan.
Setiausaha Polis Malaysia Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin, berkata pihaknya mengambil maklum terhadap pendedahan oleh Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) mengenai 15 pusat hiburan yang didakwa menjadi pusat pengedaran dadah di ibu negara.
Menurutnya, sepanjang Januari lalu hingga Jun ini, sebanyak 55 serbuan pusat hiburan telah dijalankan di Kuala Lumpur, manakala 194 serbuan di seluruh negara bagi tempoh sama.
“Dalam serbuan pusat hiburan di Kuala Lumpur, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM berjaya merampas sebanyak 5,135.57 gram pelbagai jenis dadah dan 450 liter pelbagai cecair dadah.
“Sebanyak 124 kes dengan seramai 160 orang berjaya ditangkap di bawah pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, bagi serbuan pusat hiburan seluruh negara pula, sebanyak 9,208.81gram pelbagai dadah dan 450 liter cecair dadah berjaya dirampas dengan sebanyak 449 kes membabitkan 504 orang berjaya ditangkap mengikut ADB 1952.
“Bagi mencegah aktiviti maksiat, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) telah menjalankan Op Noda di lokasi seperti rumah urut, hotel serta pusat hiburan.
“Dalam operasi berkenaan, sebanyak 995 serbuan dijalankan bagi tempoh Januari hingga April 2022 dengan tangkapan seramai 2,948 orang yang terbabit dalam aktiviti pelacuran dan pusat hiburan seluruh negara.
“Di kontinjen Kuala Lumpur sahaja sebanyak 420 serbuan dijalankan dengan tangkapan seramai 1,115 orang dalam tempoh yang sama,” katanya.
Menurutnya, dalam membanteras aktiviti haram berkenaan, PDRM sentiasa menjalankan Risikan dan pemantauan ke atas laman sosial atau aplikasi yang dikesan mengiklankan aktiviti persundalan.
“PDRM terbuka untuk menerima sebarang maklumat aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah serta mengalukan kerjasama dari mana-mana pihak untuk menyalurkan maklumat melalui hotline Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di talian 012-2087222.
“Manakala bagi maklumat aktiviti maksiat boleh disalurkan melalui email Bahagian D7 JSJ di alamat [email protected],” katanya. – Malaysiapost