Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 bawa mesej penyatuan ummah – Idris Ahmad

Persidangan Ulama Asia Tenggara 2022 bawa mesej penyatuan ummah – Idris Ahmad

PERSIDANGAN Ulama Asia Tenggara 2022 yang akan diadakan di Subang Jaya pada 30 Jun ini diharap dapat membawa mesej penyatuan ummah serta menyerlahkan nilai keharmonian dan toleransi berasaskan fiqh al-ta’ayush.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad, berkata persidangan anjuran kementeriannya dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) itu dijadualkan menghimpunkan para ulama dan ilmuan daripada 20 buah negara.

“Inilah hasrat kami untuk membawa mesej penyatuan ummah serta menyerlahkan nilai keharmonian dan toleransi berasaskan Fiqh Al-Ta’ayush.

“Para ulama dan umara terus bergandingan membawa mesej perpaduan untuk maslahah umat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Terdahulu beliau menyambut ketibaan Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, semalam bagi menghadiri persidangan itu.

Hadir sama menyambut ketibaan itu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff.

Hakimah dalam satu kenyataan berkata, Sheikh Mohammad akan berkongsi idea dan pandangan dalam memperkukuhkan keharmonian dan keamanan di rantau ini serta meningkatkan semangat toleransi Islam dalam kepelbagaian Keluarga Malaysia.

“Persidangan ini turut menyebarkan kesedaran terhadap konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat secara keseluruhan,” katanya.

Menurutnya, objektif persidangan itu akan menekankan nilai kesederhanaan, pengukuhan nilai persahabatan dan nilai kerjasama dalam kalangan ummah serta menyebarkan kesedaran terhadap konsep kesatuan, keadilan dan keharmonian antara pemimpin Islam dan masyarakat secara keseluruhan. – Malaysiapost

Komen