RAFIZI Ramli ketandusan idea baru untuk menyelesaikan masalah bekalan makanan apabila menyarankan negara mengadakan ‘stockpile’ makanan, dakwa Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Isham Jalil.
Menurutnya, idea Timbalan Presiden PKR itu bukanlah idea yang asli malah telah meniru idea pihak lain sekali gus segala formula yang dicetuskan Rafizi tidak boleh diguna pakai.
“Namun cadangan Rafizi untuk ‘stockpile’ makanan ini bukanlah idea baru dan bukan idea dia pun. Kerajaan telah mula import ‘stockpile’ ayam dari minggu lepas untuk meningkatkan bekalan ayam dalam negara.
“Rafizi tidak ada idea baru yang original untuk selesaikan masalah, tapi hanya pandai kritik, kutuk dan perlekeh serta tiru idea orang lain sahaja. Mungkin sebab itu formulanya semua ke laut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Rafizi menyifatkan cadangan MT Umno supaya kerajaan mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi membantu menyelesaikan krisis bekalan ayam sebagai cadangan jenaka.
Beliau secara sinis bertanya sama ada Umno mahu menubuhkan Lembaga Kambing Kebangsaan sekiranya negara berhadapan dengan krisis bekalan daging kambing.
Justeru, Rafizi mencadangkan kerajaan melaksanakan stok penimbal dan menubuhkan Suruhanjaya Bekalan dan Kelangsungan Kebangsaan seperti yang diwujudkan di Amerika Syarikat.
“Saya lihat Rafizi tidak faham hal ini, dia cuma pandai cakap saja untuk mendapat perhatian dan untuk retorik politik tetapi fakta dan solusinya ke laut. Ini tidak membantu rakyat.
“Rafizi, kita perlu penyelesaian dasar yang bijak sekarang untuk membantu rakyat, bukan sekadar retorik politik. Bila rakyat lapar, mereka tidak boleh makan retorik politik kamu.
“Allah SWT kurniakan akal fikiran yang baik, gunakanlah ia untuk membantu rakyat,” kata Isham. -Malaysiapost