Rakyat tak peduli tentang formula

Rakyat tak peduli tentang formula

RAKYAT perlukan solusi kepada permasalahan kos sara hidup dan isu sekuriti makanan negara, bukannya ‘raja formula’, tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohd Rafizi Ramli yang memperlekehkan cadangan Umno mengenai penubuhan Lembaga Unggas Kebangsaan.

“Beliau (Rafizi) katakan cadangan tersebut akan membazir wang rakyat dan menambah lagi karenah birokrasi. Tapi beliau sendiri pula mencadangkan untuk mewujudkan satu badan bebas untuk menguruskan risiko gangguan bekalan makanan.

“Tidakkah itu akan menambah lagi birokrasi dan sedikit sebanyak menggunakan wang rakyat?” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno, berkata ia bukan kali pertama Mohd Rafizi memberikan cadangan atau kritikan yang ‘self contradictory’.

“Kita semua masih ingat siapa Rafizi Ramli dan bermacam dakyah penipuan yang ditaburkan kepada rakyat Malaysia sejak Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lagi melalui kempen ‘Bina Semula Negara’ beliau.

“Siapa lagi masih ingat? Bermacam-macam formula untuk tol percuma, pendidikan percuma dan segala macam kaedah untuk kononnya mengurus kewangan negara dengan lebih baik.

“Tetapi apabila Pakatan Harapan (PH) menjadi Kerajaan, semuanya hanya tinggal janji. Kata mereka hutang tetap hutang, dan manifesto bukan kitab suci,” katanya.

Menurutnya, keadaan itu berbeza dengan Umno yang sentiasa konsisten, terutama sekali dalam isu-isu sekuriti makanan

“Seperti yang saya cadangkan sebelum ini, perlu ada koordinasi rentas kementerian melalui pengaktifan semula Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) dan melaksanakan pakej-pakej bantuan yang bersasar berteraskan data terkini kepada golongan memerlukan.

“Saya berpendapat, melalui platform itu, pelbagai cadangan dan pandangan, terutama sekali daripada pakar (bukan pakar formula seperti Rafizi Ramli) dan pemain industri bagi memastikan setiap keputusan Kerajaan, sama ada berkenaan harga makanan, harga utiliti dan lain-lain haruslah bertujuan untuk sentiasa mengawal dan merendahkan kos sara hidup rakyat.

“Termasuklah juga cadangan penubuhan Lembaga Unggas Kebangsaan yang perlu diteliti NACCOL untuk memastikan harga ayam sentiasa di tahap yang munasabah,” katanya.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat Jumaat lalu, mencadangkan kerajaan mewujudkan Lembaga Unggas Negara bagi menyelesaikan isu berkaitan bekalan ayam supaya ia dapat ditangani secara menyeluruh.

Cadangan itu mengundang kritikan Mohd Rafizi yang menyifatkan penubuhan sebuah lembaga kebangsaan bagi menangani isu terbabit sebagai satu jenaka. – Malaysiapost

Komen