Tak nak tanding lagi di Pulai sebab tahu akan kalah – Nur Jazlan

TIMBALAN Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed, menegaskan tidak akan menarik semula keputusannya untuk melepas dan tidak bertanding di kerusi Parlimen Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menurutnya, keputusan itu dibuat kerana beliau tahu akan kalah kalau bertanding juga di kawasan yang dimenanginya itu selama tiga penggal sebelum PRU-14.

Beliau berkata, selepas analisis yang jelas berhubung keputusan dan statistik pengundian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu sudah memberikan petanda pada PRU-15 nanti.

“Dengan pola dan peratusan pengundi cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan Barisan Nasional (BN), saya tahu saya akan kalah kalau bertanding juga.

“Kerusi Parlimen Pulai pula adalah kerusi marginal di mana pecahan peratus undi Melayu dan Cina cukup tipis perbezaan.

“Kalau saya bertanding dan dapat 70 peratus undi Melayu tapi pengundi Cina pula langsung tak menyokong saya, saya tetap akan kalah,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sejarah PRU-14 sudah cukup mengajarnya untuk kenal hati budi pengundi Cina.

“Cukup setakat itu sajalah. Biarlah orang lain atau MP Pulai sekarang terus berkhidmat kepada rakyat Pulai.

“Saya seorang akauntan, jadi bila saya congak dan kira, kalau jawapan yang saya dapat ada kosong, saya tahu angka itu susah nak berubah jadi satu,” katanya.

Nur Jazlan berkata, ramai yang terkejut apabila beliau mengumumkan melepaskan dan tak lagi bertanding di kerusi Parlimen Pulai.

“Ada yang macam tak percaya, ada yang anggap saya bergurau dan saya tahu ada juga yang gembira dengan keputusan saya itu.

“Ramai juga yang pujuk saya untuk tarik keputusan itu tapi saya tak nak,” tegasnya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights