4 hari di pawagam, Mat Kilau raih RM11 juta

4 hari di pawagam, Mat Kilau raih RM11 juta

FILEM Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan terus mencetus fenomena dunia perfileman tanah air apabila meraih kutipan RM11 juta dalam tempoh empat hari sejak ditayangkan di pawagam, Khamis lalu. 

Berdasarkan maklumat terkini daripada Facebook rasmi GSC, setakat pukul 9 malam ini filem arahan Syamsul Yusof itu terus melakar sejarah dengan merekodkan kutipan RM11 juta yang julung kalinya dikecapi filem tempatan. 

Terdahulu, filem terbitan Studio Kembara ini mencipta rekod sebagai filem epik tempatan pertama mengutip RM1 juta pada hari pertama tayangan.

Diikuti pada hari kedua, filem Mat Kilau ini meraih kutipan RM1.8 juta dan hari ketiga menghampiri RM3 juta.

Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan diterajui Datuk Adi Putra yang diberi tanggungjawab menghidupkan watak pahlawan Mat Kilau Imam Rasu atau Mat Kilau.

Filem itu disokong bintang hebat termasuk Wan Hanafi Su sebagai ayah Mat Kilau iaitu Tok Gajah, Beto Kusyairy (Wahid), Khir Rahman (Usup), Fattah Amin (Awang) dan Johan As’ari (Yassin).

Tidak ketinggalan Datuk Rahim Razali, Namron, Shaharuddin Thamby, Ellie Suriaty, Farah Ahmad dan aktor aksi handalan Indonesia, Yayan Ruhian sebagai Toga.

Filem Mat Kilau membawa penonton kembali kepada zaman 1892 ketika kolonial British menduduki tanah di Pahang. 

British mengaut hasil bumi Pahang milik orang Melayu dan mencampuri urusan adat dan agama orang Melayu.

Enggan membiarkan kebiadapan British bermaharaja lela di bumi Pahang, Mat Kilau, Tok Gajah dan sahabatnya bangkit berjuang menentang penjajah.

Kebijaksanaan Mat Kilau dan Tok Gajah merancang penentangan menyebabkan  sering berlaku pertempuran sengit dengan pihak Inggeris yang mengakibatkan penjajah mengalami tekanan dan kerugian. -Malaysiapost

Komen