PEMUDA Barisan Nasional (BN) meminta kerajaan mengkaji semula beberapa elemen dalam Akta Insolvensi 1967 yang dianggap sudah usang bagi mengelakkan lebih ramai anak muda jatuh muflis.
Pengerusi Pemuda BN, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata penggubalan akta baru yang memberi peluang kepada mereka yang muflis melepaskan diri dari status muflis secara automatik perlu dipertimbangkan.
Beliau berkata, dalam ucapannya di Penutup Karnival Kerjaya Pemuda BN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang semalam, di hadapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, beliau membangkitkan maklum-balas ramai anak muda yang berhadapan dengan kemuflisan seusia muda.
“Fenomena muflis atau bankrap dikalangan rakyat Malaysia khususnya anak muda adalah membimbangkan.
“Menurut statistik sehingga 31 Disember 2021 yang dikeluarkan Jabatan Insolvensi Malaysia sebanyak 289,766 kes sedang ditadbir dan lebih 60 peratus dari jumlah itu dipercayai terdiri dari golongan muda,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Menurutnya, Pemuda BN mengakui bahawa pandemik Covid-19 amat mempengaruhi peningkatan muflis dan mengakui bahawa kerajaan cuba membantu dengan meminda Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) pada sidang Parlimen tahun lepas.
“Ia bagi meningkatkan nilai ambang minimum (threshhold) dari jumlah hutang RM50,000 kepada RM100,000 bagi mengemukakan petisyen kebankrapan untuk mengelakkan lebih ramai diisytiharkan muflis.
“Walaubagaimanapun, nilai ambang minimum yang ditingkatkan itu hanyalah berupa langkah sementara dan telah kembali kepada nilai asal (RM50,000) pada 31 Ogos 2021 yang lalu,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno berkata, penurunan nilai ambang itu pasti akan meningkatkan jumlah mereka yang bakal berhadapan dengan kebankrapan akibat dampak ekonomi ketika pandemik terutamanya di kalangan anak muda.
“Pemuda BN berpendapat gejala ini tidak sihat sekiranya diteruskan kerana status muflis berdasarkan kepada undang-undang sedia ada bukan sahaja tidak dapat membantu mereka untuk memudahkan mereka keluar dari hutang.
“Malah akta tersedia bakal memerangkapkan mereka lagi dengan pelbagai kekangan dan membantutkan semangat keusahawanan mereka sekiranya mereka mahu menceburi bidang perniagaan,” katanya.
Asyraf Wajdi berkata, mewakili suara Pemuda BN, beliau menyatakan sudah sampai masa kerajaan meminda elemen-elemen yang boleh dianggap sebagai ‘archaic’ (usang) dan memperkenalkan elemen-elemen yang lebih moden dan progresif.
Beliau berkata, di bawah akta bankrupsi sedia ada sekarang, tiada had tempoh bagi seseorang yang diisytiharkan muflis untuk keluar dari status kebankrapan melainkan sekiranya dia sudah melunaskan kembali semua hutangnya kepada kreditor.
“Ketiadaan had tempoh pasti untuk seseorang muflis dapat keluar dari status bankrupt menyebabkan ramai antara mereka merasa putus asa, keputusan ini memberi kesan buruk kepada kesihatan mental mereka.
“Menggubal akta baru yang memberi peluang kepada mereka yang muflis boleh melepaskan diri dari status muflis secara automatik perlu dipertimbangkan bagi membolehkan mereka ini dapat kembali aktif dalam kegiatan ekonomi secepat mungkin.
Menurutnya, Pemuda Umno berpendapat, pindaan itu perlu kerana ia memberi jalan keluar untuk rakyat khususnya anak muda dan umumnya kepada pembangunan ekonomi rakyat dan negara.
“Alhamdulillah, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberikan respon positif sejurus ucapan perasmian Penutup BN Youth Job Fair,” katanya. – Malaysiapost