AHLI Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP, Young Syefura Othman menyatakan solidariti dengan Emilia Hanafi, bekas isteri ahli perniagaan, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin.
Emilia, 43, hari ini diarah menjalani hukuman penjara tujuh hari atas kesalahan gagal mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur mengenai tarikh lawatan tiga anaknya.
Menurut Young Syefura, beliau amat kecewa apabila seorang ibu terpaksa menjalani hukuman penjara akibat menukar tarikh lawatan untuk bekas suami bertemu anak-anak mereka.
“Puan Emilia Hanafi tidak sepatutnya dilayan sebegini. Menurut keterangan beliau telah menghantar surat ke pihak bekas suami namun tiada balasan terhadap surat tersebut yang menyebabkan beliau meneruskan keputusan untuk menukar tarikh lawatan itu.
Akibatnya beliau kini menjalani hukuman penjara atau komital bermula pada hari ini,” tulisnya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ketari itu, pada pandangan peribadinya, Emilia tidak sepatutnya dijatuhkan hukuman penjara sebegitu lama.
Ini kerana dakwanya, di Malaysia terdapat banyak kes di mana pihak bekas suami atau bapa culas dengan tanggungjawab mereka.
“Namun kebanyakan mereka diberi kelonggaran dalam menjalani hukuman. Seharusnya Puan Emilia juga diberi kelonggaran untuk menjalani hukuman ini, apa lagi ketiga-tiga anak kini di bawah jagaan beliau.
“Bagaimana dengan emosi anak-anak ini yang telah menjadi mangsa sejak dari awal kes ini berlaku.
“Saya bersolidariti dengan Puan Emilia dan semua wanita yang menjadi mangsa seperti kes ini. Semoga ini menjadi satu iktibar dan kes rujukan untuk wanita yang lain di masa hadapan dan tidak ada wanita lain akan menerima nasib sebegini lagi,” katanya.
Terdahulu pagi tadi, Emilia hadir sendiri ke Mahkamah Syariah dan menyerah diri.
Menurut peguam syarie, Nazri Yahya yang mewakili Emilia, anak guamnya akan menjalani hukuman penjara itu di Penjara Wanita Kajang.
“Selepas pemenjaraan itu, anak guam saya akan hadir untuk prosiding di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur,” katanya.
Pada 4 September 2019, Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadap Emilia selepas membenarkan permohonan komital (menghina mahkamah) difailkan Faisal apabila wanita itu mengubah tarikh lawatan anak-anaknya.
Emilia kemudian dibebaskan dengan ikat jamin RM5,000 sementara menunggu rayuan.
Pada 8 Jun lalu, Emilia turut memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar bidang kuasa Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh hari terhadapnya.
Ibu tiga anak itu menamakan SM Faisal, 43, bekas ibu mentuanya Puan Sri Zaleha Ismail, 70, dan lima pihak lain sebagai responden.
Turut dinamakan sebagai responden iaitu Pendaftar Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Ketua Pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur, Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur dan Kerajaan Malaysia. – Malaysiapost
Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik