SEORANG pelajar perempuan Tingkatan Empat maut dipercayai dibunuh teman lelakinya di sebuah rumah di Kampung Idaman, Pandamaran, dekat Klang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 3.40 pagi memaklumkan terdapat remaja perempuan tidak sedarkan diri di halaman rumah, lapor Bernama.
“Pada jam 2 pagi semalam, suspek membawa mangsa ke bilik rumahnya, kemudian berlaku perselisihan faham dan suspek dipercayai telah menyebabkan kematian mangsa.
“Suspek kemudian mengangkat mangsa dan membawa keluar dari bilik hingga ke halaman rumah.
“Kemudian suspek meminta bantuan ahli keluarganya yang sedang tidur di dalam rumah tersebut sebelum ahli keluarga menelefon polis memaklumkan kejadian itu dan kematian mangsa disahkan pegawai perubatan yang tiba di lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan hari ini.
Hoong Fong berkata, suspek berusia 24 tahun itu dan mangsa yang berumur 16 tahun berkenalan selama setahun serta hubungan mereka diketahui keluarga masing-masing.
Katanya lagi, mangsa tinggal di Puchong bersama bapa saudaranya.
Hasil pemeriksaan awal pada badan mangsa, tambahnya, mendapati beberapa kesan calar dan lebam di bahagian muka dan leher.
“Laporan bedah siasat mendapati punca kematian adalah disebabkan lemas akibat ditekup disyaki menggunakan bantal dan bantal itu dijadikan barang bukti kes,” katanya.
Beliau berkata suspek, yang tiada rekod lampau, ditangkap di lokasi kejadian dan kini direman sehingga 3 Julai bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Malaysiapost