Hadir perjumpaan tak semesti sokong apa-apa gerakan – Shahril 

Hadir perjumpaan tak semesti sokong apa-apa gerakan – Shahril 

HADIR dalam mana-mana perjumpaan tidak semestinya bermakna menyokong apa-apa gerakan, kata Ketua Penerangan Umno, Shahril Hamdan. 

Beliau berkata demikian susulan dakwaan bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa wujud gerakan untuk menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno pada 2020. 

Menurut Shahril, cerita lama tidak perlu diungkit dan ditokok tambah kerana Ahmad Zahid sendiri lebih tahu dan sudah lama tahu mengetahuinya. 

“PAU (Perhimpunan Agung Umno), PAU Khas, Konvensyen BN sudah menampakkan kesepakatan untuk menuju pilihan raya. 

“Parti dah buat keputusan. Presiden dan Timbalan jaga parti, PM jaga kerajaan. Bergerak seiring. Soal lantikan MKT, hak Presiden. Presiden menang bertanding, hak institusi itu mesti dihormati. 

Soal lantikan Kabinet, biar PM uruskan. Tiada keperluan pertikai, persoal terbuka dan menambah perasa. Beliau Naib Presiden, beliau “poster boy” yang telah direstui dan diputuskan oleh Presiden, Timbalan, MKT dan umumnya, parti. 

“Tak perlu timbulkan curiga. Takkan orang Umno rasa elok nak lemahkan PM dan calon PM sendiri?,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. 

Tambah Shahril, Umno juga telah bersetuju untuk mengadakan pemilihan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) maka tidak perlu wujud syak wasangka dalam kalangan pimpinan. 

“Kalau boleh berpegang kepada semua ini, ahli tenang, Umno menang. Nak pilih yang mana ayahanda semua? 

“Parti ini parti yang sepatutnya di ambang kemenangan. Takkanlah kita nak mengundang kekalahan dengan perpecahan,” katanya. 

Tajuddin hari ini mendakwa Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mengetuai gerakan untuk menjatuhkan Ahmad Zahid. 

Beliau mendakwa, gerakan itu turut dibantu Datuk Seri Najib Razak kerana bekas Perdana Menteri itu masih mempunyai pengaruh. 

“Ketuanya siapa?… Tok Mat (Mohamad) dan Bossku (Najib)..suruh turun buat tinjauan berapa ketua bahagian yang setuju, 130  bahagian yang setuju (Ahmad Zahid berundur),” katanya. 

Menurut Tajuddin, gerakan menjatuhkan Ahmad Zahid itu berlaku pada Mei 2020 di kediamannya. – Malaysiapost

Komen