TINDAKAN Umno mengumumkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai ‘poster boy’ sekali gus dilantik sekali lagi sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), didakwa umpan semata-mata.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa ia adalah perangkap atau umpan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya Ismail Sabri membubarkan Parlimen dengan segera.
“Poster boy umpan kepada Perdana Menteri supaya setuju untuk adakan PRU15. Ia nak bagi Ismail Sabri seronok lalu bubar Parlimen dengan cepat. Jangan terpedaya dengan umpan ini.
“Dia (Ahmad Zahid) tetap nak tanding Presiden (Umno). Tak boleh pakai. Dia akan atur siapa calon calon Parlimen dah berjalan dah sekarang.
“Kawasan saya pun saya dah jadi ‘target’… tak apa saya dah lama pun,” katanya pada sidang media khas di Petaling Jaya, hari ini.
Pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) Khas April lalu, Ismail Sabri dipilih sebulat suara oleh perwakilan untuk diangkat sebagai ‘poster boy’ sekali gus dilantik Perdana Menteri jika BN menang PRU15. – Malaysiapost