AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa berhubung isu pengguguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai ahli MKT, baru- baru ini.
Mohd Puad berkata, tindakan Annuar yang mendakwa pengguguran Tajuddin berisiko mencetuskan krisis dalaman Umno adalah bersifat menghasut.
“Tajuddin bukan dipecat. Dia MKT dilantik. Dia digugurkan untuk diganti oleh orang lain. Takkan itu pun Annuar Musa tidak faham.
“Annuar cuba menghasut dengan mengatakan tindakan terhadap Tajuddin berisiko cetuskan krisis dalam parti.
“Krisis boleh berlaku bila ada tukang kipas dan batu api yang mengapikannya. Menggugurkan orang yang dilantik dan diganti dengan orang lain adalah normal,” katanya menerusi Facebook.
Mohd Puad berkata, pengguguran jawatan dalam Umno adalah perkara biasa dan ramai pemimpin termasuk Annuar juga pernah melalui perkara sama.
“Annuar juga pernah digugurkan sebagai Ketua Penerangan (Umno). Itu juga berlaku kepada (Datuk Seri) Ahmad Maslan dan (Datuk Seri) Dr Shamsul Anuar Nasarah. Tidak timbul pun krisis dalam parti,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Puad turut menyangkal kenyataan Annuar yang mendakwa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak pernah memecat sesiapa ketika menjadi Presiden Umno.
“Siapa kata Tun M tidak pernah pecat orang. (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dipecat sampai hilang jawatan Timbalan Presiden.
“Annuar membisu bila (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) pecat Tajuddin sebagai Pengerusi Prasarana.
“Bila lawan keputusan parti memang wajib digugur dan dipecat. Itu cerita sebenarnya,” katanya.
Terdahulu, Annuar mendakwa pemecatan ahli MKT Umno sebelum tamat tempoh perkhidmatan berisiko mencetuskan krisis dalam parti.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu turut memberi bayangan akan lebih ramai ahli parti akan disingkirkan kerana dilabel sebagai musuh politik. – Malaysiapost