Macam mana Presiden lemah kalau dah menang 7-0 dalam pilihan raya
KETUA Penerangan Umno, Shahril Hamdan hari ini mempersoalkan pihak yang melabel Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai lemah.
Ini kerana katanya, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) telah memimpin gabungan itu memenangi tujuh pilihan raya termasuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Beliau juga menempelak pihak yang mendakwa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai lemah, sedangkan Perdana Menteri sibuk menguruskan negara.
“Berikutan pendedahan oleh bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, amai sedang memberi komentar dan spekulasi tentang keadaan dalaman Umno.
“Sudah tentu paling gembira mendengar dakwaan tersebut adalah pihak lawan. Segala dakwaan ini menjadi peluru untuk terus menyerang Umno. Naratif lawan akan jadi mudah – bagaimana Umno hendak jual kestabilan kalau dalam Umno sendiri tak berpadu?
“Satu hari ada pihak kata PM lemah. Sedangkan beliau sedang sibuk sehabis baik mengurus negara dalam keadaan ekonomi dan politik cukup mencabar.
“Hari lain pula ada pihak kata Presiden liabiliti dan lemah juga. Sedangkan lemah macam mana kalau dah memimpin kejayaan 7-0 dalam pilihan raya?,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya.
Shahril juga membidas pihak tertentu yang setiap hari mengadu domba dan melabel individu tertentu sebagai ‘kluster Putrajaya’ dan ‘kluster PWTC’.
Menurutnya, ada juga pihak membuat spekulasi kononnya ada pemimpin bakal dipecat, selain ada yang dikatakan akan menjadi calon serta sebaliknya.
“Ada yang tembak Presiden, ada yang tembak PM. Cybertrooper Umno digerakkan untuk serang orang Umno sendiri. Lawan tepuk tangan. Ahli keliru,” katanya.
Terdahulu Tajuddin dalam sidang media petang tadi mendakwa Ahmad Zahid tidak layak memimpin parti dan perlu undur diri secara terhormat.
Ahli Parlimen Pasir Salak itu turut mendakwa Ahmad Zahid tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kerana beliau tidak diberi ruang menggalas jawatan itu.
“Sebenarnya Zahid dah lama dianggap tidak layak memimpin Umno. Lebih baik undurkan diri cara terhormat demi kepentingan parti.
“Ahmad Zahid sudah menjadi liabiliti kepada Umno, tak boleh mengepalai Umno dalam pilihan raya akan datang, kita akan kalah, tanyalah orang awam, orang profesional,” katanya. – Malaysiapost