PRESIDEN Amanah, Mohamad Sabu, berkata Melayu akan terus menjadi peminta-minta di negara sendiri jika mengamalkan sikap menyanjungi pemimpin yang terbukti terpalit salah laku rasuah.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, berkata keadaan itu dapat dilihat apabila sebahagian besar masyarakat Melayu masih menyanjungi Datuk Seri Najib Razak walaupun bekas Perdana Menteri itu diputuskan bersalah oleh mahkamah kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd.
Jelasnya lagi, keadaan berbeza ketika Presiden MCA, Tan Koon Swan terlibat dalam skandal kewangan, masyarakat Cina menghukum parti itu sekali gus menyaksikan kebangkitan DAP yang memenangi 24 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1986.
“Tetapi, bila Presiden de facto Umno diputuskan bersalah oleh dua mahkamah dan empat hakim kerana penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, sebahagian besar Melayu tetap memuja-mujanya bagai dewa.
“Jika mereka terus mengamalkan akhlak bernegara seperti itu, akan teruslah menjadi peminta-minta di bumi sendiri,” katanya menerusi Facebook.
Pada 8 Disember lalu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri gagal dalam rayuannya untuk mengenepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Ini menjadikan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kedudukan terhadap bekas Presiden Umno itu dikekalkan.
Untuk rekod, Najib menghadapi tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Ketujuh-tujuh pertuduhan itu adalah – tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC.
SRC International adalah bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang kini diletak di bawah Kementerian Kewangan. – Malaysiapost