MB Kedah tunjuk ‘skill’, ‘ole’ pemain lawan

MB Kedah tunjuk ‘skill’, ‘ole’ pemain lawan

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sekali lagi membuktikan dirinya bukanlah calang-calang apabila beraksi di padang bola sepak.

Menerusi satu video dimuatnaik di media sosial miliknya hari ini, Presiden Kedah Darul Aman FC itu melakukan ‘trick’ dengan menolak bola di celah kaki pemain lawan atau dipanggil ‘ole’.

Aksi bersahaja itu dipamerkan Muhammad Sanusi dalam perlawanan bola sepak PAS Pilihanku 4.0 antara pasukan MB dan SUA di Stadium Mini Majlis Daerah Sik.

Pasukan Muhammad Sanusi turut diwakili beberapa bekas pemain Kedah termasuk bekas jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe.

Manakala pasukan lawan turut disertai Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan serta bekas kapten Kelantan, Badhri Radzi.

Dalam video berdurasi hampir dua minit itu, Muhammad Sanusi turut mempamer beberapa kemahiran individu serta menggelecek pemain lawan.

Beliau turut menulis kapsyen: “Boleh kot tegha tu nohhh… – Lionel Nussi -“.

Mac lalu, Muhammad Sanusi mencuri perhatian apabila video beliau melakukan tendangan volley dari luar kotak penalti tular di media sosial.

Sepakan kaki kanannya itu melepasi jangkauan penjaga lawan, namun terkena tiang gol sebelum bola dikeluarkan oleh pemain pertahanan.

Beliau beraksi dalam perlawanan persahabatan antara pasukan veteran MB melawan veteran polis di Stadium Darul Aman di Alor Setar. – Malaysiapost

Komen