Nazri akui wujud SD sokong Anwar untuk selamatkan Umno

Nazri akui wujud SD sokong Anwar untuk selamatkan Umno

Aiman Hanif

BEKAS Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Aziz mengakui beberapa Ahli Parlimen Umno menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.

Nazri berkata, beliau adalah individu yang bertanggungjawab untuk pusing seluruh negara bagi mendapat sokongan pemimpin akar umbi Umno supaya menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya, usaha itu dilakukan bagi mengelak Umno diharamkan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Memang benar, kita mahu angkat Anwar jadi Perdana Menteri kerana ingin menyelamatkan Umno. Masa Mahathir jadi Perdana Menteri dia nak bubar Umno.

“Saya ketika itu Setiausaha Agung BN, saya bertanggungjawab pada parti saya untuk selamatkan BN. Jika Umno jatuh, BN jatuh.

“Sebagai Setiausaha Agung BN, saya pusing untuk dapatkan sokongan bagi mengangkat Anwar menjadi Perdana Menteri, walaupun pada masa itu ada yang tak sokong,” katanya kepada Malaysiapost.

Terdahulu, bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan SD daripada Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.

Tajuddin berkata, beliau sendiri menjadi saksi dan turut menolak usaha gerakan berkenaan.

“Jajaran baru, saya (menjadi) saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi Perdana Menteri dan ada surat dihantar pada istana,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Mengulas lanjut Nazri berkata beliau juga antara individu yang menandatangi SD bagi menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri.

Katanya, SD berkenaan disimpan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Semua surat ini disimpan oleh Najib kerana kita percaya dia akan dedahkan pada waktu yang betul,” katanya lagi.

“Memang betul saya tandatangan untuk selamatkan Umno daripada dibubar Mahathir,” katanya lagi.

Tambah Nazri lagi beliau juga menjadi individu yang berunding dengan Anwar berhubung perkara itu dengan meletakkan syarat tertentu.

“Saya gembira apabila Anwar berkata ini parti Pak Brahim, tak akan saya nak bubar,” tambahnya lagi.- Malaysiapost

Komen