Negara tak pernah alami isu bekalan ayam, telur yang serius zaman BN – Najib

SARANAN pelaksanaan stok penimbal yang dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, bagi menangani krisis sekuriti makanan negara bukanlah idea baharu, kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak

Menurutnya, langkah itu sudah lama dibuat kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu melalui Badan Stok Penimbal Negara (BSPN) yang bertujuan memastikan bekalan makanan negara terjamin dan juga bagi menstabilkan harga.

Ahli Parlimen Pekan itu berkata, bagaimanapun tidak diketahui sama ada dasar itu telah disambung di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Tapi kerajaan BN tak pernah dan tak nampak keperluan bagi stok penimbal ayam dan telur sebab sejak lebih 10 tahun dahulu, pengeluaran ayam dan telur negara melebihi 100 peratus keperluan domestik.

“Oleh itu, kita tak pernah mengalami kekurangan bekalan yang serius sepanjang tempoh saya Perdana Menteri,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau bagaimanapun mendakwa, dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada April 2021 mengenakan harga kawalan, menarik balik diskaun elektrik dan kekurangan tenaga kerja menyebabkan banyak penternak berhenti operasi ataupun mengurangkan pengeluaran.

“Sekiranya kerajaan PN tak buat cara ‘shortcut’ tanpa menyelesaikan masalah asas, kita tak akan mengalami kekurangan bekalan ayam dan telur seperti yang berlaku pada bulan-bulan lepas.

“Selepas itu, kerajaan campuran hari ini pula cuba memperbetulkan keadaan ini dengan memperkenalkan subsidi ayam dan telur buat kali pertama pada bulan Februari 2022 namun perlaksanaannya tidak elok sebab ramai penternak tak memohon ataupun pembayaran subsidi dari kerajaan terlalu lambat kerana birokrasi.

“Oleh sebab itu, kerajaan hari ini pun berebut untuk mewujudkan stok penimbal bagi ayam buat kali pertama dalam sejarah melalui Lembaga Pertubuhan Peladang dan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas),” katanya.

Najib bagaimanapun percaya simpanan stok penimbal bagi ayam beku tidak akan diperlukan dalam masa terdekat sekiranya Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menepati janji mereka. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights