KENYATAAN bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman hari ini mengabsahkan ikhtiar Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kenyataan itu juga menjelaskan memang benar PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jumlah sokongan ahli Parlimen.
Menurutnya, ia sekali gus mencukupi untuk merampas semula kerajaan selepas mandat rakyat dikhianati melalui ‘Langkah Sheraton’.
“Justeru, ejekan sebahagian khalayak yang melantunkan kata-kata kononnya Anwar berbohong apabila menyatakan beliau mempunyai sokongan kukuh dan meyakinkan pada 22 September 2020 telah terjawab dengan sendirinya.
“Kenyataan Tajuddin hari ini juga menzahirkan bahawa pengkhianatan dan agenda peribadi telah pun menggagalkan usaha dan ikhtiar untuk merampas semula Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan.
Sehubungan itu, Shamsul Iskandar berkata sewajarnya semua pihak tidak memberi ruang dan berkompromi kepada pimpinan yang telah dituduh dan disabit di mahkamah dengan amalan rasuah dan penyelewengan.
“Mereka mesti mempunyai hari mereka di mahkamah kerana undang-undang mesti dibenarkan untuk mengambil jalannya,” katanya.
Terdahulu hari ini, Tajuddin mendakwa wujud akuan bersumpah (SD) daripada Ahli Parlimen Umno bagi menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.
Tajuddin berkata, beliau sendiri menjadi saksi dan turut menolak usaha gerakan berkenaan.
“Jajaran baru, saya (menjadi) saksi hidup, tak usah nafi memang ada SD ditandatangan hendak sokong Anwar jadi Perdana Menteri dan ada surat dihantar pada istana,” katanya. – Malaysiapost