Pentingnya inovasi pendidikan digital – Mohd Khairuddin

Pentingnya inovasi pendidikan digital – Mohd Khairuddin

GOLONGAN pendidik disaran supaya kreatif dalam menghasilkan inovasi pendidikan digital untuk dimanfaatkan pelajar dan rakyat di Terengganu khususnya dan negara amnya.

Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata inovasi oleh guru itu amat diperlukan dalam era digital masa kini dalam usaha meningkatkan sistem pendidikan negara ke peringkat yang lebih cemerlang.

“Untuk menjayakan hasrat itu, saya umumkan dana untuk anugerah digital Parlimen Kuala Nerus berjumlah RM50,000 untuk diuruskan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

“Buatlah macam mana pun dengan peruntukan itu, cuma saya mahu RM10,000 daripada RM50,000 itu disediakan untuk Anugerah Inovasi Digital sebagai hadiah wang tunai untuk menghargai usaha guru yang berinovasi digital

“Biar lahir di Kuala Nerus ini guru yang berinovasi tinggi supaya apa yg dihasilkan benar-benar memberikan manfaat untuk rakyat Terengganu dan Malaysia amnya,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Pendidikan Digital Kuala Nerus 2022 bertemakan Kuala Nerus Hub Pendidikan Digital, di Kuala Terengganu, semalam.

Majlis berkenaan bertujuan menghargai jasa dan sumbangan guru-guru dalam menghasilkan bahan-bahan digital sepanjang tahun lalu dengan anugerah seperti Guru Pendidikan Digital Terbaik, Guru Ikon Pendidikan Digital Terbaik dan Sekolah Model Pendidikan Digital.

Dalam pada itu, Khairuddin berkata, pendidikan adalah nukleus untuk melahirkan generasi yang hebat pada masa hadapan.

“Acuannya adalah kita pada hari ini, kerajaan dan kita sediakan acuan itu dan ia mesti menjadi asas untuk merealisasikan hasrat itu bermula di Kuala Nerus,” katanya. – Malaysiapost

Komen