JAWATANKUASA Kos Sara Hidup Pakatan Harapan (PH) mencadangkan kepada Majlis Presiden PH dan rakyat untuk melancarkan protes besar-besaran di 222 Kawasan Parlimen seluruh negara atas kegagalan kerajaan membendung kenaikan kos sara hidup rakyat.
Dalam satu kenyataan hari ini, jawatankuasa berkenaan mencadangkan agar protes itu dimulakan dengan tindakan minima seperti ‘flashmob’.
Menurut jawatankuasa itu, keputusan kerajaan berkenaan penarikan subsidi yang telah diumumkan sebelum ini merupakan satu tindakan separuh masak, tidak bertanggungjawab dan terburu-buru.
“Tindakan tersebut bakal melebarkan jurang kemiskinan sedia ada dan menambah masalah sosial dikalangan rakyat.
“Jawatankuasa ini menggesa dan mendesak kerajaan memikirkan semula penarikan ini yang akan berkuatkuasa serta merta pada 1 Julai ini yang bakal menaikkan kadar inflasi harga barang yang menyumbang kepada kenaikan kos sara hidup rakyat terutama B40,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ahli Parlimen Pasir Gudang (PKR), Hassan Abdul Karim; Ahli Parlimen Hulu Langat (Amanah) Datuk Hasanuddin Mohd Yunus; Ahli Parlimen Stampin (DAP) Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Sekijang (PKR) Natrah Ismail; Ahli Parlimen Batu Gajah (DAP) Sivakumar Varatharaju Naidu; Ahli Parlimen Kota Kinabalu (DAP) Chan Foong Hin; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan (Amanah) Asmirul Anuar Aris; Ahli Parlimen Rasah (DAP) Cha Kee Chin; dan bekas Adun Maharani (Amanah) Norhayati Bachok.
Jawatankuasa berkenaan menegaskan beberapa perkara antaranya harga siling ayam dan telur ayam mesti dikekalkan serta subsidi kepada penternak dan pengusaha ditambah mengikut keadaan semasa agar bekalan dalam negara kekal.
“Subsidi minyak masak botol dikekalkan dan kerajaan mesti menetapkan mekanisme kawalan pembelian kepada semua rakyat agar bekalan tidak terputus pada masa depan.
“Subsidi gas masak slider (tong gas) mesti dikekalkan. Penjualan Ron 95 mesti dikekalkan sebagaimana di zaman Kerajaan PH tempoh hari berjaya mengekalkan harga pada kadar RM2 seliter yang tidak diapungkan.
“Cadangan menaikkan tarif air dan elektrik mesti dihalang dan dikekalkan pada harga semasa demi kesejahteraan semua pihak,” katanya.
Jawatankuasa berkenaan turut mencadangkan beberapa langkah bagi mengatasi kenaikan kos sara hidup secara mendadak iaitu penggunaan hasil cukai secara bersasar dan efisien bagi membantu rakyat.
“Menangguhkan projek-projek yang bersifat mega dan tidak menguntungkan rakyat dalam jangka pendek dan panjang, umpama MRT3, ECRL, Bandar Malaysia (TR-Exchange) dan lain-lain.
“Mengkaji semula semua elaun-elaun Ketua Pegawai Eksekutif dan ahli-ahli lembaga syarikat berkaitan kerajaan (GLC, GLIC) dan syarikat-syarikat pelaburan berkaitan kerajaan,” katanya.
Kerajaan juga dicadangkan mengecilkan anggota Kabinet semasa dan menamatkan Jawatan Duta-Duta Khas Luar Negara seperti Duta Khas ke India, China, Amerika Syarikat dan Timur Tengah.
Turut dicadangkan pemotongan elaun Perdana Menteri, Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri, dan dipulangkan kepada rakyat serta mengurangkan segala bentuk lawatan-lawatan ke luar negara dan membatalkan kos percutian Menteri-Menteri Kabinet bagi tahun ini.
“Dengan penegasan dan cadangan di atas, Jawatankuasa ini ingin mencadangkan kepada Majlis Presiden PH dan rakyat bersama-sama kita melancarkan protes besar-besaran di 222 Kawasan Parlimen seluruh negara atas kegagalan kerajaan membendung kenaikan kos sara hidup rakyat. Dengan memulakan tindakan minima seperti flashmob,” katanya. – Malaysiapost