POLIS sudah merakam keterangan penganjur serta saksi flashmob turunkan harga barang yang diadakan tanpa permit di bulatan Seberang Jaya, Pulau Pinang pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata pihaknya kini sedang dalam usaha untuk mengesan baki peserta yang menyertai perhimpunan tersebut.
Menurutnya, satu laporan polis telah diterima oleh pihak polis berhubung flashmob berkenaan dan siasatan yang dijalankan mendapati ia tidak mempunyai permit yang sah.
“Pada 24 Jun lalu, jam 5 petang telah diadakan flashmob turunkan harga barang bertempat di bulatan Seberang Jaya, Pulau Pinang yang dihadiri oleh seramai 30 orang peserta dan berakhir pada jam 6 petang.
“Sejumlah 13 plakad dan 1 kain rentang telah dinaikkan sepanjang flashmob tersebut diadakan yang mendesak kerajaan untuk menurunkan harga barang.
“Perhimpunan berlangsung dengan aman tanpa sebarang insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya dalam sidang media di Pusat Media Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, hari ini.
Beliau berkata, siasatan masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya setelah siasatan selesai.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda tidak melebihi RM10,000,” katanya. – Malaysiapost